Setiap minggu terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan, tidak kira permainan AAA ataupun permainan indie. Selain itu, terdapat juga pelbagai DLC dan penambahan yang dilancarkan untuk permainan sedia ada. Oleh itu, melalui segmen ini, kami akan kongsikan lima permainan dan penambahan menarik yang dilancarkan sepanjang minggu ini.
Ninja Gaiden: Ragebound
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC
Ninja Gaiden satu siri permainan yang tidak perlu diperkenalkan lagi, tetapi mungkin ramai yang mengenalinya sebagai satu permainan aksi terutama dengan pelancaran Ninja Gaiden pada tahun 2004, tetapi siri permainan ini bermula dengan lebih awal dan bermula sebagai permainan beat ’em up. Pembangun Blasphemous, The Game Kitchen ingin membawa kembali Ninja Gaiden ke zaman tersebut melalui Ragebound. Dengan gaya permainan klasik tetapi pada masa yang sama mempunyai sentuhan moden, ia akan memberikan pengalaman yang bukan sahaja nostalgia tetapi juga rancak dengan pembaharuan.
Tales of the Shire: A The Lord of the Rings Game
Platform: PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch, PC
Apabila bercakap mengenai permainan Lord of the Rings, mungkin permainan aksi melibatkan perang yang menjadi fokus, tetapi permainan Tales of the Shire ini membawa satu kelainan dengan pemain akan menjadi seorang Hobbit dan perlu melalui kehidupan di kampungnya iaitu Bywater. Pemain boleh melakukan pelbagai aktiviti kehidupan seperti memancing, berkebun, dan juga mencari bahan-bahan untuk membina. Pemain juga melakukan dekorasi rumah dan taman mengikut cita rasa. Selain itu, terdapat juga pelbagai misi yang boleh dilakukan sekitar Bywater.
Primal Planet
Platform: PC
Jika anda berimaginasi inginkan satu permainan metroidvania yang melibatkan dinosaur dan UFO, anda tidak lagi perlu sekadar imaginasi kerana Primal Planet membawa premis ini. Di dalam permainan ini, pemain akan menjadi satu keluarga yang cuba untuk terus hidup di dalam dunia yang sangat berbahaya. Pemain perlu mengembara, bertempur dan juga membina dengan tema zaman purba tetapi juga mempunyai elemen cereka sains kerana terdapat juga makhluk asing yang menambah misteri dunia ini.
Haikyu!! Fly High
Platform: iOS, Android
Ingin membina pasukan sendiri menggunakan watak-watak popular daripada siri Haikyu!!? Permainan mudah alih ini tersedia untuk anda lakukannya. Selain dapat mengumpul watak-watak seperti Hinata, Kageyama, Nishinoya dan lain-lain, pemain juga boleh menggunakan mereka untuk perlawanan bola tampar dengan animasi yang sangat menarik. Tambahan itu, setiap watak juga akan menggunakan pelakon suara asal untuk bahasa Jepun dan juga bahasa Inggeris.
Day of the Shell
Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC
Misi anda adalah menghancurkan ‘Shell’ dan untuk melakukannya pemain perlu melalui kawasan yang penuh dengan bahaya. Setiap pusingan pemain juga boleh melakukan satu pergerakan sahaja, sama ada bergerak ataupun melakukan serangan. Pemain juga boleh mempertingkatkan tahap dan jika pemain mati, perlu bermula semula tetapi akan mengekalkan segala peningkatan yang dilakukan sebelum ini. Setiap pusingan juga akan membawa cabaran baharu, memberikan pengalaman berbeza setiap kali pemain melakukannya.


