Setiap kali Disney, mahupun mana-mana studio filem yang mengeluarkan edisi aksi nyata untuk sesuatu siri animasi, persoalan yang sering ditanya adalah ‘adakah ia perlu’. Bagi saya, ia adalah satu persoalan yang tiada jawapan yang boleh dijawab dan akan diterima oleh semua. Sebaliknya, saya merasakan menilai sesuatu filem berdasarkan penyampaian secara kendiri adalah lebih baik. Oleh itu, bagi filem ini saya akan ulas berdasarkan versi aksi nyata ini dan tidak akan membandingkannya dengan versi animasi sesuatu yang saya juga lakukan untuk filem-filem seperti ini.

Lilo & Stitch merupakan filem mengenai seorang kanak-kanak di Hawaii iaitu Lilo lakonan Maia Kealoha yang merupakan seorang yatim piatu dan hidup bersama kakaknya Nani lakonan Sydney Elizebeth Agudong. Terbeban dengan penjagaan Lilo, Nani tidak dapat melalui kehidupannya dengan baik, manakala Lilo pula sukar untuk mempunyai rakan sebaya kerana perangainya yang cuba melawan. Keadaan menjadi semakin teruk apabila Lilo menjumpai dan memelihara makhluk asing yang disangkakan sebagai anjing. Makhluk asing tersebut kemudian diberi nama Stitch.

Stitch merupakan makhluk asing yang dihasilkan secara genetik untuk menjadi pemusnah, oleh kerana dia dihasilkan secara haram, dia telah dibuang daripada hidup bersama dengan makhluk asing yang lain. Dia kemudian melarikan diri menggunakan satu kapal angkasa, sehinggalah mendarat di bumi dan dijumpai oleh Lilo. Lilo ingin terus membela Stitch akan tetapi dengan keadaan yang tidak terkawal, Nani tidak menyukai idea tersebut dan dia juga mungkin akan kehilangan hak untuk terus menjaga Lilo jika keadaan kehidupannya tidak ditambah baik.

Walaupun Stitch merupakan bahagian penting di dalam filem ini, akan tetapi bagi saya perhubungan di antara Nina dan Lilo merupakan penceritaan utama yang ingin disampaikan. Nani melakukan pelbagai pengorbanan, termasuk juga menangguh pembelajarannya manakala Lilo pula sukar untuk menghadapi kehidupan kanak-kanaknya kerana rasa dipinggirkan oleh orang-orang lain membuatkan dia menjadi erat dengan Stitch yang tidak ‘lari’ daripadanya. Kisah ini juga disampaikan dengan sangat beremosi, tidak kira sedih ataupun membuatkan saya bergelak tawa, dan saya boleh katakan kedua-dua pelakon untuk watak ini melakukan kerja yang baik sekali.

Stitch berjaya untuk menjadikan penceritaan ini lebih menarik, kerana dia menjadi buruan makhluk asing dan juga CIA yang membuatkan keadaan sentiasa menjadi kacau bilau. Bermula dengan makhluk yang ganas dan nakal, Stitch kemudian menjadi sesuatu yang akan disukai oleh penonton. Dia juga sering melakukan perkara nakal yang mencuit hati. Satu masalah mengenai Stitch, walaupun ini adalah filem aksi nyata akan tetapi Stitch masih lagi CGI, begitu juga dengan makhluk asing yang lain. Ada masa adegan menjadi janggal kerana Lilo ataupun mana-mana watak manusia tidak berinteraksi dengan Stitch secara tepat. Contohnya, seperti yang anda boleh lihat dalam treler, Lilo menunjuk Stitch berada di bawah, tetapi dia sebenarnya berada di atas kerusi.

Masalah ini bagi saya adalah kecil, dan ada beberapa adegan sahaja yang ia nampak jelas oleh itu tidak sangat mengganggu pengalaman tontonan saya. Namun, dengan filem ini dihasilkan oleh Disney, dengan bajet yang saya boleh katakan besar, ia mungkin boleh dilakukan dengan lebih baik lagi. Namun, jika perkara ini bukan masalah untuk anda, tidak banyak rungutan yang saya boleh katakan lagi selain daripada watak jahat yang tidaklah mendalam dan penceritaan juga mudah untuk dijangka, ia satu filem yang ringkas tetapi menyeronokkan.

Akhir kata, perlu ataupun tidak filem ini dihasilkan tidak mempunyai jawapan yang tepat, tetapi filem ini secara kendirinya adalah menarik, menyentuh hati terutama melalui watak Lilo dan kakaknya Nani, dan Stitch sentiasa membawa keganasan yang melucukan. Selain daripada interaksi janggal antara watak manusia dengan CGI seperti Stitch, filem ini masih membawa satu sesi tontonan yang memuaskan tidak kira anda pernah mengikuti kisah Lilo & Stitch sebelum ini ataupun pertama kali ingin menontonnya.

Lilo & Stitch (2025)
Satu filem yang menyentuh jiwa, perhubungan di antara Lilo dan kakaknya Nani mengambil pentas utama dengan Stitch masih lagi watak yang penting untuk membawa keganasan yang melucukan. Satu filem yang cukup dan memberikan pengalaman tontonan yang baik.
Positif
Lilo dan Nani mencuri tumpuan
Stitch yang ganas tapi comel
Negatif
Kejangaran interaksi di antara watak manusia dan CGI seperti Stitch
Penceritaan yang ringkas dan mudah untuk dijangka
8

Leave a Reply

Final Score