SEGA telah mengumumkan bahawa permainan arena fighter Demon Slayer -Kimetsu no Yaiba- The Hinokami Chronicles 2 akan dilancarkan untuk platform Nintendo Switch 2 pada 29 Oktober 2026. Ia melibatkan pelancaran pakej penuh Demon Slayer -Kimetsu no Yaiba- The Hinokami Chronicles 2 – Nintendo Switch 2 Edition + “Infinity Castle” Character Pass.

Versi konsol baharu ini membawakan beberapa peningkatan berbanding versi Nintendo Switch, terutamanya dari segi kualiti visual dan kelancaran prestasi yang kini menyokong 60 FPS. Peningkatan ini memberikan perincian yang lebih jelas pada animasi kemahiran watak serta respons kawalan yang lebih jitu semasa perlawanan.
Permainan ini menawarkan sebanyak 54 watak keseluruhan yang boleh dimainkan. Pilihan ini termasuk tujuh watak tambahan daripada pas kandungan “Infinity Castle” Character Pass, iaitu Tanjiro Kamado (Infinity Castle), Zenitsu Agatsuma (Infinity Castle), Giyu Tomioka (Infinity Castle), Shinobu Kocho (Infinity Castle), Doma, Akaza (Infinity Castle), dan Kaigaku.



Bagi mod multi-pemain, versi ini menyokong perlawanan luar talian setempat untuk dua pemain serta perlawanan dalam talian secara rentas platform bersama Nintendo Switch. Walau bagaimanapun, perlawanan dalam talian yang melibatkan pemain di platform Nintendo Switch akan dihadkan kepada kadar 30 FPS.
Bagi pengguna yang sudah memiliki versi Nintendo Switch sebelum ini, Demon Slayer -Kimetsu no Yaiba- The Hinokami Chronicles 2 Nintendo Switch 2 Edition Upgrade Pack akan ditawarkan pada hari yang sama untuk membolehkan naik taraf dilakukan. Walau bagaimanapun, pas watak “Infinity Castle” Character Pass tidak disertakan di dalam pek naik taraf tersebut dan perlu dibeli secara berasingan.

Sistem permainan ini menyokong pemindahan fail simpanan daripada versi Nintendo Switch ke konsol baharu. Selain itu, pemain yang mempunyai rekod fail simpanan daripada permainan terdahulu seperti Demon Slayer -Kimetsu no Yaiba- The Hinokami Chronicles atau Demon Slayer -Kimetsu no Yaiba- Sweep the Board! akan menerima bonus khas apabila melakukan pautan data di konsol Nintendo Switch 2.


