ASUS Republic of Gamers (ROG) Malaysia secara rasmi telah mengumumkan penawaran harga dan ketersediaan bagi barisan produk eksklusif ROG Edition 20 untuk pasaran tempatan. Pengumuman ini dibuat sempena sambutan ulang tahun jenama tersebut yang ke-20 melalui acara After Dark Party di GMBB Kuala Lumpur. Tempahan awal bagi barisan peranti, komponen PC, serta produk gaya hidup ini telah dibuka bermula hari ini menerusi ASUS eStore serta pengedar sah terpilih, lengkap dengan ganjaran hadiah eksklusif untuk para pembeli.

ROG NUC 16 Edition 20

PC Mini ini merupakan sebuah sistem desktop kompak bersaiz tiga liter yang direka khas untuk peminat tegar permainan video yang inginkan prestasi tinggi dalam saiz minimum. Dari segi perkakasan, peranti ini dikuasakan oleh cip grafik komputer riba NVIDIA GeForce RTX 5090 serta menyokong teknologi DLSS 4.5 untuk kelancaran grafik permainan. Sistem penyejukan QuietFlow yang disertakan mampu menguruskan haba CPU dengan 21% lebih cekap, serta menawarkan keupayaan pelepasan haba gabungan CPU dan GPU sehingga 300 watt bagi memastikan prestasi kekal stabil tanpa bunyi bising. ROG NUC 16 Edition 20 ditawarkan pada harga pasaran RM29,999 dengan pilihan warna hitam separa lutsinar yang digabungkan bersama aksen warna emas.

ROG Swift OLED PG27AQWP-G Edition 20

Monitor edisi khas ini bersaiz 26.5 inci dengan paparan TrueBlack berkilat Tandem WOLED, bersesuaian untuk keperluan permainan kompetitif esukan dan hiburan visual beresolusi tinggi. Skrin ini dilengkapi ciri dwi-mod yang membolehkan pengguna menukar paparan antara resolusi QHD pada kadar segar semula sehingga 540Hz atau resolusi HD pada kadar 720Hz. Kadar reaksi yang pantas sekitar 0.02 ms memastikan paparan kekal tajam tanpa kesan kabur ketika sesi permainan rancak. Dijual pada harga RM8,100, monitor ini tampil dengan reka bentuk panel belakang jenis lutsinar.

ROG Rapture GT-BE98 Pro Edition 20

Sistem rangkaian ini merupakan router gaming jenis quad-band yang menggunakan teknologi WiFi 7 terkini bagi menjamin sambungan internet tanpa lenggah. Ia membawakan spesifikasi jalur lebar 320MHz, sokongan 4096-QAM, serta ciri Multi-Link Operation (MLO) yang mampu menghasilkan kelajuan pemindahan data keseluruhan sehingga 30Gbps bagi memastikan kestabilan rentas pelbagai peranti serentak. Router yang hadir dengan kemasan warna hitam dan emas ini boleh dimiliki pada harga RM3,388.

Komponen PC Premium ROG Edition 20

Bagi peminat binaan PC DIY, ASUS turut menawarkan rangkaian komponen berprestasi tinggi yang ditawarkan khusus dalam satu set kombo lengkap dan tidak disediakan secara berasingan. Set komponen ini merangkumi:

  • ROG Crosshair X870E Edition 20 bersama ROG Ryujin 360 Edition 20: Papan induk yang disepadukan dengan sistem penyejukan cecair AIO, menggunakan pam Asetek EMMA Gen10 V3Rx serta reka bentuk dek terma kuprum penuh untuk menyejukkan CPU dan VRM secara serentak. (Harga: RM15,500)
  • ROG Astral GeForce RTX 5090 Edition 20: Kad grafik yang memaparkan skrin AMOLED melengkung di bahagian sisi untuk menunjukkan animasi visual 3D tersuai atau data prestasi perkakasan secara masa nyata. (Harga: RM33,999)
  • ROG Thor 3000W Titanium III Edition 20: Unit bekalan kuasa yang mampu menyokong konfigurasi sehingga empat kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090, menggunakan komponen GaN MOSFET gred pelayan, seni bina dwi-voltan adaptif, serta penstabil voltan GPU-First untuk kestabilan kuasa sehingga 45%. (Harga: RM3,939)
  • ROG GR20 Edition 20: Kerangka PC modular jenis terbuka (open-frame) diperbuat daripada bahan aluminium untuk pengaliran udara maksimum. (Harga: RM2,600)

Pembelian keseluruhan komponen PC ini wajib dibeli bersama papan kekunci ROG Azoth Extreme Edition 20, tetikus ROG Harpe II Extreme Edition 20, dan monitor ROG Swift OLED PG27AQWP-G Edition 20 ketika membuat pembelian.

Perkakasan Eksklusif ROG Edition 20

Melengkapkan ekosistem permainan, ROG turut melancarkan papan kekunci mekanikal premium ROG Azoth Extreme Edition 20 yang menggunakan reka bentuk casis aluminium, plat penempatan gentian karbon, skrin sentuh OLED berwarna penuh, serta kemasan elemen emas 24K tulen pada harga RM2,599. Pengumpul koleksi juga boleh mendapatkan ROG Keycap Mystery Box Edition 20 yang mengandungi reka bentuk keycap rawak dengan harga RM99 seunit.

Seterusnya, tetikus gaming ROG Harpe II Extreme Edition 20 yang dilengkapi sensor ROG Aimpoint Pro 65K, suis mikro optikal untuk 100 juta klik, teknologi nirwayar SpeedNova 8K, dan tapak kaca Corning® Gorilla® Glass dijual pada harga RM1,380.

Koleksi Gaya Hidup ROG SLASH Edition 20

Bagi pasaran gaya hidup, terdapat dua produk kembara eksklusif dengan padanan kemasan aksen warna emas. Beg pakaian ROG SLASH Hard-case Luggage Edition 20 berharga RM1,199 dibinakan daripada polikarbonat 100%, bingkai aluminium dilindungi kunci TSA, serta roda berpusing reka bentuk papan selaju. Di bahagian dalamannya terdapat slot khas untuk komputer riba, konsol mudah alih, dan aksesori. Manakala beg galas ROG SLASH Backpack Edition 20 pula dijual pada harga RM629 dengan bahan PU kalis air, gancu magnetik Fidlock, serta ruang simpanan fleksibel roll-top yang memuatkan komputer riba bersaiz sehingga 18 inci.

Mengenai ketersediaan, koleksi gaya hidup ROG SLASH sudah boleh dibeli sekarang melalui ASUS eStore. Manakala bagi produk perkakasan gaming, monitor, router, peranti sisi, dan set komponen PC Edition 20 dijadualkan tiba di pasaran Malaysia pada awal Ogos 2026.

Setiap pembelian bagi produk perkakasan, PC mini, monitor, dan router terpilih melayakkan pembeli menebus kad Touch ‘n Go (TNG) edisi terhad ROG 20th Anniversary. Pembeli yang menempah set kombo PC penuh pula bakal menerima kad TNG tersebut bersama sebuah ROG Gift Box berisi cenderamata eksklusif ROG. Selain itu, pembeli kotak misteri keycap yang bertuah mendapat varian ‘ROG Logo Special Edition’ bakal menerima tetikus ROG Harpe II Extreme Edition 20 secara percuma. Maklumat lanjut mengenai kempen tempahan awal ini boleh dilayari menerusi laman rasmi pra-tempahan yang mula dibuka pada 26 Jun 2026.

Leave a Reply