SEGA telah mengumumkan yang Season Pass 2 untuk Sonic Racing: CrossWorlds akan tiba lewat tahun ini. Pas kandungan baharu tersebut bakal membawakan enam pek DLC secara keseluruhan, dengan pengesahan bahawa pek pertama akan menampilkan watak kaiju Godzilla, disusuli oleh kolaborasi bersama Evangelion dalam pek kedua.

Sebelum bermulanya gelombang kandungan musim kedua, baki kandungan bagi Season Pass 1 akan disertakan terlebih dahulu dalam masa terdekat. Pek kelima yang membawakan watak-watak daripada Teenage Mutant Ninja Turtles iaitu Leonardo, Donatello, Raphael, dan Michelangelo dijadualkan pelancarannya pada Julai 2026. Seterusnya, pek keenam yang berasaskan Avatar Legends akan menyusul pada Oktober 2026 dengan menampilkan watak Aang dan Katara. Kedua-dua pek ini akan dilengkapi dengan jentera, litar, serta muzik bertema yang baharu.

Bagi pemain yang ingin mencuba permainan ini, SEGA turut menyediakan kemas kini untuk versi demo percuma (kecuali versi Nintendo Switch) yang membolehkan penggunaan jentera Extreme Gear dalam mod Grand Prix serta Time Trial. Semua data kemajuan daripada demo ini boleh dipindahkan ke permainan penuh selepas pembelian.

Sonic Racing: CrossWorlds menawarkan sokongan rentas platform penuh untuk mod dalam talian dan sedia dimainkan di platform PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch, dan PC. Permainan ini membariskan 50 watak daripada siri Sonic di samping pelbagai watak jemputan daripada francais popular lain.

Leave a Reply