Permainan video TCG Card Shop Simulator telah merekodkan jualan melebihi 3.5 juta unit. Pengumuman pencapaian tersebut diumumkan oleh O.P. Neon Games, sebuah studio yang diasaskan oleh pembangun solo dari Malaysia iaitu Ding Shen Sia, bersempena acara SEA Games Showcase 2026. Judul bergenre trading card shop simulation ini pada asalnya dilancarkan melalui fasa Early Access pada 15 September 2024.
Bersama pengumuman angka jualan tersebut, pihak pembangun turut mengesahkan pelancaran versi 1.0 yang akan tiba tidak lama lagi. Kemas kini utama untuk versi penuh ini akan menyertakan mekanik di mana pemain boleh bermain Tetramon Trading Card Game di dalam permainan itu sendiri. Ciri baharu ini juga akan membawakan penambahan kad-kad baharu untuk dikumpul oleh pemain. Sebuah treler baharu telah diterbitkan untuk mempamerkan fungsi permainan kad tersebut kepada umum.
TCG Card Shop Simulator juga sedang dalam proses untuk turut dilancarkan di PlayStation 5 dan juga Nintendo Switch yang kini berada dalam fasa pembangunan penuh dan maklumat lanjut berkenaan tarikh pelancaran akan dikongsikan pada masa akan datang. Buat masa ini, permainan ini boleh dimainkan di Xbox Series dan PC, termasuk penawaran melalui langganan perkhidmatan Xbox Game Pass.


