NEOWIZ dan Nintendo mengumumkan bahawa permainan action RPG Lies of P: Complete Edition akan dilancarkan di platform Nintendo Switch 2 pada 6 Ogos tahun ini. Ini menandakan kali pertama judul bercorak soulslike berkenaan dibawa ke konsol Nintendo sejak pelancaran asal versi asasnya pada tahun 2023.
Edisi ini akan menyertakan permainan asas Lies of P berserta kandungan tambahan Lies of P: Overture. Pra-tempahan digital kini telah dibuka di Nintendo eShop.
Bagi yang inginkan versi fizikal, pengedar iam8bit akan menerbitkan versi katrij yang mengandungi permainan penuh bersama DLC tersebut. Terdapat dua versi fizikal utama yang ditawarkan iaitu Edisi Retail (iam8bit Edition) yang disertakan dengan enam keping ‘Boss Lore Cards’, serta Edisi Eksklusif iam8bit yang menambah sarung ‘o-sleeve’ dengan rekaan seni visual daripada pasukan pembangunan NEOWIZ.
Sejak dilancarkan permainan ini telah mencatatkan jualan terkumpul melebihi 4 juta unit di seluruh dunia. Projek usahasama ROUND8 Studio dan penerbit NEOWIZ ini memfokuskan kepada pengembaraan watak patung ciptaan Gepetto dalam merentasi bandar Krat.


