Panic dan pembangun House House ketika acara Nintendo Direct telah mengumumkan yang permainan mereka Big Walk akan dilancarkan pada 4 Ogos 2026. Selain daripada PlayStation 5 dan PC diumumkan sebelum ini, ia juga akan dilancarkan untuk Nintendo Switch 2.

Pelanggan PlayStation Plus Essential juga akan menerima akses terus kepada permainan ini pada hari pertama pelancaran dan akan menyokong fungsi rentas platform.

Permainan ini memfokuskan kepada kerjasama berpasukan dan komunikasi. Kempen utama permainan ini direka khusus dari mula hingga tamat untuk dimainkan oleh sekurang-kurangnya 2 hingga 12 orang pemain. Pemain dijangka mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 jam untuk menamatkan permainan ini dan melihat pengakhiran pertamanya.

Mekanik utama Big Walk bergantung kuat kepada sistem sembang suara jarak dekat yang dinamik. Suara pemain di dalam permainan akan berubah mengikut persekitaran dan jarak, seperti bergema di dalam lorong, kedengaran sayup dari jauh, atau terhalang dan teredam di sebalik dinding. Bagi situasi di mana komunikasi lisan terputus, pemain boleh menggunakan pergerakan tangan seperti menunjuk dan melambai ke arah pemain lain.

Selain itu, pemain dibekalkan dengan pelbagai alatan dan objek interaktif untuk kekal berhubung semasa mengembara di dunia terbuka tersebut. Ini termasuk walkie-talkie, penunjuk laser, cermin mata jauh, megafon, suar, papan putih, loceng lembu, serta objek unik seperti kepala emas yang besar.

Di luar elemen penyelesaian teka-teki dan cabaran, Big Walk turut memberi ruang untuk interaksi bebas di kalangan pemain. Pemain boleh menghabiskan masa melakukan aktiviti santai seperti melihat matahari terbenam atau bergurau dengan mencuri barang dan menendang rakan ke dalam laut.

Leave a Reply