Capcom telah mengumumkan yang penambahan Dragon’s Dogma 2: Dark Arisen akan dilancarkan pada 9 Oktober 2026. Penambahan ini akan ditawarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series, PC dan juga Nintendo Switch 2 iaitu platform baharu yang menerima permainan ini. Penambahan ini juga terjual secara berasingan di platform lain.
Menjelang pelancaran Dark Arisen, permainan asas Dragon’s Dogma 2 dijadualkan menerima dua kemas kini utama. Kemas kini pertama akan dilancarkan pada 10 Jun 2026 memfokuskan kepada kualiti kemudahan permainan, termasuk pengenalan item Eternal Ferrystone yang boleh digunakan berulang kali untuk memudahkan sistem perjalanan pantas.
Kemas kini kedua pula bakal tiba pada penghujung bulan Ogos, yang akan menaik taraf kadar bingkai, menambah slot simpanan permainan baharu, dan membuat pelarasan lanjut terhadap sistem permainan.
Penambahan Dark Arisen memperkenalkan Norgan, sebuah wilayah utara yang dilitupi salji dan telah lama ditinggalkan. Pemain akan bekerjasama dengan watak bernama Eir untuk merungkai misteri ancaman baharu yang dikenali sebagai Fallen Dragon. Wilayah baharu ini turut menyertakan sistem peninggalan (relics). Pemain boleh mengumpul peninggalan ini melalui hasil rampasan daripada raksasa atau mencarinya di sekitar Norgan, dan menilainya di Norgandian Settlement untuk diubah menjadi senjata serta perisai yang lebih kuat.



Selain penerokaan di kawasan bersalji, kandungan baharu ini menawarkan 12 cabaran penjara bawah tanah khusus yang dipanggil Lost Rites. Ujian yang direka oleh Pathfinder ini memberi peluang kepada pemain untuk mendapatkan peralatan nadir yang ditinggalkan oleh Arisen pada masa lalu. Pilihan penciptaan watak juga telah diperluas melalui penambahan gaya rambut dan gaya tatu baharu.
Pemain yang mendapatkan penambahan ini turut akan menerima Explorer’s Camping Kit dan Dragon’s Dogma Music & Sound Collection. Pembelian awal atau mereka yang membuat pra-tempahan untuk versi digital mahupun fizikal akan menerima bonus set kosmetik dalam permainan iaitu Norgan Fashion Set: Northern Attire.


