Dua pelakon ternama, Syafiq Kyle dan Beto Kusyairy bakal digandingkan buat pertama kali di layar perak menerusi filem drama aksi terbaharu berjudul HAK: Tuntut Atau Tunduk. Filem yang kini berada dalam fasa produksi ini diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Enotech Pictures, Pegasus Motion Pictures, dan Icon Pictures.

Filem ini membawa tema kelangsungan hidup dan tekanan ekonomi semasa. Plot utama memfokuskan kepada watak Hakim, seorang pegawai operasi pasar awam yang terdesak mencari sumber kewangan demi persiapan menyambut kelahiran anak sulungnya. Desakan hidup ini mendorong dia untuk mengambil kesempatan ke atas komuniti di sekelilingnya. Konflik memuncak apabila dia secara tidak sengaja menemui sebuah beg berisi wang, yang mengakibatkan nyawanya serta keluarga diburu oleh pihak yang berbahaya.
Filem ini mendapat sentuhan pengarah Ezrie Gazali yang sebelum ini mengarahkan Abah Saya Uncle Mike, manakala skripnya digarap oleh penulis siri One Cent Thief, Alfie Palermo. Bagi mengekalkan elemen realistik dalam penceritaan, lokasi penggambaran memfokuskan kepada kawasan pasar awam dan komuniti pangsapuri di sekitar Lembah Klang.
Barisan pelakon pembantu yang turut melengkapkan naskhah ini termasuk Kodi Rasheed, Mimi Lana, Fadhli Masoot, Aziz M Osman, Radhi Khalid, Rubini Sambanthan, El Umar Mokhtar, dan Dato Fizz Fairuz.

Idea penceritaan HAK: Tuntut Atau Tunduk dicetuskan oleh Santharuban Thurai Sundaram yang mengambil inspirasi daripada perubahan landskap perniagaan dan sosioekonomi tempatan. Naratif filem ini menyentuh isu semasa di mana ruang perniagaan yang dilepaskan oleh warga tempatan kini banyak dikuasai oleh pekerja asing, diolah sebagai mesej untuk menggalakkan semula pemilikan ekonomi oleh rakyat tempatan.
Filem ini akan ditayangkan di pawagam namun tarikh masih tidak diumumkan lagi.


