Apple TV akan terus menjadi platform penstriman tunggal untuk francais Peanuts sehingga tahun 2030 berikutan perjanjian bersama WildBrain, Peanuts Worldwide, dan Lee Mendelson Film Productions. Melalui kerjasama ini, Apple sedang dalam fasa produksi untuk sebuah filem animasi baharu yang berjudul Snoopy Unleashed. Filem tersebut akan memfokuskan kepada pengembaraan Charlie Brown dan rakan-rakannya ke Big City untuk mencari Snoopy yang melarikan diri dari rumah.

Selain pengumuman filem baharu, jadual siaran platform tersebut untuk musim panas ini turut didedahkan dengan tumpuan kepada kandungan baharu dan siri-siri lama. Musim kedua siri Camp Snoopy akan ditayangkan bermula 26 Jun, menyambung kisah Snoopy dan kumpulan Beagle Scouts di Camp Spring Lake. Sebuah rancangan istimewa baharu, Snoopy Presents: There’s No Place Like Home, Snoopy, dijadualkan untuk siaran pada 31 Julai. Plot rancangan ini mengisahkan usaha Charlie Brown membantu Snoopy mendapatkan semula rumah anjingnya yang telah dijual secara tidak sengaja.

Bagi kandungan klasik, siri This is America, Charlie Brown yang ditayangkan pada tahun 1988 akan mula distrim pada 3 Julai. Siri mini ini memaparkan watak-watak Peanuts yang melalui pelbagai peristiwa penting dalam sejarah Amerika Syarikat. Pada 10 Julai pula, siri animasi era 1980-an, The Charlie Brown and Snoopy Show, akan membuat penampilan pertamanya di platform Apple TV.

Apple TV boleh dilanggan dengan harga RM29.90 sebulan, ia juga ditawarkan bersama dengan langganan Apple One.

Leave a Reply