Usaha Astro Shaw untuk membina ekosistem penceritaan berhubung kini memasuki fasa baharu dengan pelancaran video Astro Shaw Cinematic Universe : Kitab Kataha. Melangkaui sekadar tayangan di skrin, pengembangan francais filem tempatan ini turut disertakan dengan pelancaran ruang interaktif fizikal di Kuala Lumpur serta kempen penjejakan petunjuk secara digital.

Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan ASCU, Astro Shaw mengumumkan kerjasama dengan Immersify Kuala Lumpur, sebuah galeri seni media imersif berkeluasan 30,000 kaki persegi yang terletak di Bukit Bintang City Centre. Ruang yang dilengkapi teknologi visual berskala besar dan zon 360 darjah itu bakal menawarkan pengalaman fizikal untuk pelbagai tajuk di bawah payung studio berkenaan. Tayangan interaktif ini akan bermula dengan filem Malam Terlarang dan Keluang Man, sebelum disusuli oleh francais Polis Evo pada masa akan datang.

Bagi teaser terbaru pula, video berdurasi 1 minit 52 saat terbaharu itu mendedahkan elemen misteri di dalam semesta ASCU, menampilkan seorang watak yang sedang memburu sesuatu bersama kemunculan sebuah kitab bersimbol segi tiga. Walaupun menjadi kesinambungan kepada penceritaan francais ini, naskhah berkenaan disahkan bukan sebuah susulan langsung kepada teaser Astro Shaw Cinematic Universe : The Beginning yang ditayangkan pada Januari lalu.

Projek ini diarahkan oleh pencipta kandungan digital Mshaffuan dan Sofyank, bersama pengarah sinematografi Nicholas Chin. Proses pembangunannya pula diselia oleh Pengarah Kreatif ASCU, Alfie Palermo.

Bagi mengekalkan momentum dan perdebatan teori dalam kalangan pengikut francais, pihak studio turut melancarkan platform kandungan digital Spill The Beans (STB) menerusi rakan strategik Kopi WONDA. Melalui saluran media sosial, satu watak bernama Wan Daud bertindak sebagai penyalur maklumat eksklusif yang berkongsi pelbagai petunjuk tersembunyi berhubung ASCU.

Fasa baharu ini menyusul selepas video pertama Astro Shaw Cinematic Universe : The Beginning merekodkan lebih 26 juta tontonan di platform media sosial. Video awal tersebut menjadi titik tolak yang menyatukan pelbagai karakter popular syarikat itu, termasuk Inspektor Sani dan Khai dari Polis Evo, Kahar dari siri High Council, serta penampilan Keluang Man di dalam satu dunia penceritaan yang sama.

Leave a Reply