HBO Max telah memberikan lampu hijau rasmi untuk musim kedua siri asal Harry Potter lebih awal daripada siaran perdana musim pertamanya. Musim pertama, yang memfokuskan penceritaan Harry Potter and the Philosopher’s Stone, dijadualkan untuk disiarkan pada akhir tahun ini.

Bagi melancarkan perancangan jangka panjang siri ini, fasa produksi untuk musim kedua akan bermula pada musim luruh ini. Keputusan ini mewujudkan jadual produksi yang bertindih di mana pihak kru perlu menyiapkan musim pertama menjelang Krismas, sambil serentak memulakan produksi untuk musim seterusnya.

Susulan pelaksanaan jadual produksi yang padat ini, rombakan kecil pada krew penerbitan telah diumumkan. Jon Brown telah dinaikkan pangkat sebagai Co-Showrunner untuk menerajui musim kedua siri tersebut. Brown, yang menggalas tanggungjawab sebagai penulis skrip pada musim pertama, akan bekerjasama rapat dengan Francesca Gardiner. Gardiner memegang portfolio utama sebagai penulis dan penerbit eksekutif untuk adaptasi televisyen yang berasaskan karya J.K. Rowling ini.

Di samping itu, Mark Mylod turut tersenarai sebagai Penerbit Eksekutif dan bertanggungjawab mengarahkan beberapa episod siri ini. Barisan penerbit eksekutif yang lain juga merangkumi J.K. Rowling, Neil Blair, dan Ruth Kenley-Letts dari Brontë Film and TV, bersama David Heyman dari Heyday Films.

Dari segi penceritaan, musim pertama mengekalkan naratif asal dari buku di mana seorang kanak-kanak bernama Harry membuka lembaran dunia sihir setelah menerima surat kemasukan ke sekolah Hogwarts pada hari jadinya yang ke-11. Walau bagaimanapun, pengembaraan baharu ini memaksa Harry untuk berhadapan dengan musuh yang berbahaya dari masa lalunya.

Penonton boleh menstrim siri ini menerusi pelan langganan HBO Max yang ditawarkan pada harga bermula RM24.90 sebulan atau RM199.90 untuk tempoh 12 bulan.

Leave a Reply