Apple Original Films telah mendedahkan treler dan poster rasmi untuk filem terbaharu mereka, Propeller One-Way Night Coach. Karya ini ditulis, diarahkan, disuarakan sebagai pencerita, dan diterbitkan oleh John Travolta. Filem ini dijadualkan siaran secara global di platform Apple TV pada 29 Mei 2026, selepas tayangan perdana di Festival Filem Cannes 2026.

Berlatarbelakangkan era keemasan industri penerbangan, plot filem ini menumpukan kepada seorang kanak-kanak peminat kapal terbang bernama Jeff (lakonan Clark Shotwell) dan ibunya (lakonan Kelly Eviston-Quinnett). Mereka merentasi negara dalam satu penerbangan sehala menuju ke destinasi Hollywood. Sepanjang penerbangan tersebut, Jeff berhadapan dengan pelbagai situasi penerbangan dan penumpang, termasuk watak pramugari yang dilakonkan oleh Ella Bleu Travolta dan Olga Hoffmann.

Dari sudut produksi, Propeller One-Way Night Coach merupakan terbitan syarikat JTP Films Inc milik Travolta dengan kerjasama Kids At Play. Selain Travolta, produksi ini turut melibatkan Jason Berger dan Amy Laslett yang bertindak sebagai penerbit bersama.

Apple TV boleh dilanggan dengan harga RM29.90 sebulan atau melalui langganan Apple One.

Leave a Reply