Walt Disney telah mengumumkan bahawa acara konvensyen peminat utama mereka, D23 Asia: The Ultimate Disney Fan Event, akan diadakan di Singapura pada tahun 2027. Ini merupakan kali pertama acara global tersebut menjejakkan kaki ke rantau Asia Tenggara.

Acara yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari itu bakal mendedahkan projek-projek terbaru Disney. Pengunjung akan diberikan akses terawal untuk pelbagai pengumuman, termasuk pratonton eksklusif untuk kandungan APAC Originals di platform penstriman Disney+. Acara ini turut membawakan pembentangan pentas secara langsung, pameran interaktif, jualan barangan kurasi khusus, serta penampilan barisan pelakon dan tenaga kerja kreatif dari Hollywood serta seluruh dunia.

Penganjuran di Singapura ini merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan global acara D23, yang pada asalnya menumpukan penganjuran di Anaheim, California, dan baru-baru ini memperluaskan jejaknya melalui D23 Brazil. Inisiatif untuk membawa penganjuran ini ke rantau Asia Tenggara dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Konvensyen D23 telah dilancarkan secara rasmi pada tahun 2009. Nama penganjuran ini menggabungkan huruf awalan Disney dan tahun 1923, bersempena dengan tahun bersejarah pembukaan studio pertama Walt Disney di Hollywood.

Setakat ini, pihak penganjur belum mendedahkan butiran terperinci seperti tarikh spesifik, harga tiket, dan jadual penuh program. Segala maklumat lanjut berkenaan perkara tersebut hanya akan diumumkan kelak.

Leave a Reply