Infinix telah melancarkan telefon pintar baharu mereka, Infinix GT 50 Pro, pada 5 Mei ini. Peranti ini dipasarkan pada harga RM1,899 untuk 12 + 256GB dan RM2,199 untuk 12 + 512GB. Bagi pembelian sehingga 10 Mei, ia boleh didapatkan dengan harga diskaun iaitu RM1,699 dan RM1,999.

Untuk pelancaran model terbaharu dalam ekosistem GT ini, Infinix memfokuskan rekaannya terhadap kestabilan prestasi permainan video jangka panjang dengan menangani masalah penurunan prestasi akibat haba, terutama status mereka sebagai telefon rasmi untuk MPL Malaysia Musim 17 dan 18.

Infinix GT 50 Pro hadir dengan skrin bersaiz 6.78-inci, AMOLED dengan kadar segar semula sehingga 144Hz. Ia dikuasakan oleh Mediatek Dimensity 8400 Ultimate. Komponen teras bagi peranti ini ialah teknologi yang dinamakan HydroFlow Liquid Cooling Architecture. Sistem ini menggunakan penyejukan cecair pam mikro bersaiz besar yang menutupi keseluruhan permukaan cipset utama bagi memastikan pelepasan haba yang lebih cekap.

Pengurusan terma perkakasan ini membolehkan GT 50 Pro mengekalkan output kadar bingkai 144FPS secara natif tanpa bergantung kepada simulasi perisian. Kemampuan kadar bingkai tinggi ini disokong secara rasmi pada beberapa judul esports kompetitif utama termasuk Mobile Legends: Bang Bang, Free Fire, Call of Duty: Mobile, Bloodstrike, Standoff 2, dan Arena Breakout.

Bagi aspek kawalan fizikal, Infinix melengkapkan GT 50 Pro dengan sistem Open-Cut Pressure-Sense GT Trigger. Ia merupakan butang mekanikal dwi-tekanan yang mampu mengesan tahap tekanan berbeza, termasuk input sentuhan ringan, tekanan kuat, serta leretan. Dengan kadar sela masa yang didakwa kekal di bawah 20 milisaat, perkakasan ini membolehkan pemain menggunakan teknik kawalan ‘claw grip’ untuk tindak balas dalam permainan yang lebih jitu.

Fungsi butang trigger ini juga direka untuk kegunaan di luar sesi permainan video. Pengguna boleh melakukan leretan ke dalam pada kedua-dua butang serentak untuk mengakses pintasan sistem operasi. Antara pintasan yang disokong termasuk mengambil tangkap layar, memulakan rakaman skrin, melaksanakan pembersihan memori sistem, mengaktifkan mod Off-screen Gaming, atau menyeru pembantu maya Folax AI.

Manakala untuk bateri, ia hadir dengan kapasiti 6150 mAh, menyokong pengecasan pantas secara berwayar sehingga 45W dan 30W secara nirwayar. Ia hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Black Abyss, Red Blaze dan Silver Glacier.


