Apple TV akan melancarkan musim kelima siri komedi lapan episod, Trying, pada 8 Julai. Selepas siaran perdana tersebut, episod baharu akan disiarkan secara mingguan pada setiap hari Rabu sehingga 26 Ogos.

Penceritaan musim terbaharu ini memfokuskan kepada situasi yang dilalui oleh watak Nikki yang dilakonkan oleh Esther Smith, dan Jason (Rafe Spall). Kestabilan kehidupan keluarga mereka mula terjejas apabila Kat (Charlotte Riley), iaitu ibu kandung kepada Princess (Scarlett Rayner) dan Tyler (Cooper Turner), secara tiba-tiba muncul di pintu rumah mereka.
Selain kembalinya pelakon utama, siri ini turut membariskan nama-nama seperti Darren Boyd dari siri Down Cemetery Road, Siân Brooke (Blue Lights), Celia Imrie (The Thursday Murder Club), Phil Davis (Harry Potter and the Half-Blood Prince), Gbemisola Ikumelo (Black Ops), dan Colin Morgan (Belfast).

Trying dicipta dan ditulis oleh Andy Wolton, yang juga menggalas tugas sebagai penerbit eksekutif bersama Josh Cole, Sam Pinnell, Chris Sussman, Esther Smith, dan Rafe Spall. Penerbitan siri ini dikendalikan oleh pihak BBC Studios. Untuk bahagian audio, artis dan penerbit Orla Gartland mengetuai pembikinan runut bunyi bagi musim ini, di mana penonton akan diperdengarkan dengan lagu-lagu asal baharu dalam setiap episod.
Empat musim pertama Trying kini sudah tersedia untuk penstriman di platform Apple TV. Langganan untuk perkhidmatan ini ditawarkan pada harga RM29.90 sebulan.


