The Devil Wears Prada boleh dikatakan satu filem yang ikonik atau “klasik” akan tetapi agak mengejutkan ia mengambil 20 tahun sebelum filem seterusnya diterbitkan. Adakah penantian ini berbaloi dengan filem kedua sudah diterbitkan? Bagi peminat filem ini, kembali mengikuti kisah Miranda, Andy dan Emily sudah mencukupi untuk menjadikannya tontonan yang menghiburkan, akan tetapi jika ingin mencari adegan-adegan ikonik baharu ataupun penceritaan yang mendalam, filem kedua ini kurang membawanya kerana segala penceritaan terasa selamat dan tidak dikembangkan dengan berkesan.

Selepas meninggalkan Runway pada akhir filem pertama, Andy Sachs (Anne Hathaway) memiliki kerjaya yang berjaya sebagai wartawan akan tetapi kehilangan pekerjanya selepas syarikatnya membuang sebilangan pekerja termasuk dia sendiri. Miranda Priestly (Meryl Streep) masih lagi bersama Runway menghadapi krisis apabila dia terlibat dengan satu kontroversi yang menjejaskan namanya dan juga Runway. Bagi menyelesaikan krisis tersebut, pemilik Runway telah meminta Andy Sachs untuk kembali bekerja dengan mereka dengan harapan untuk membawa imej yang lebih baik.
Pada mulanya, kontroversi yang dihadapi oleh Miranda tersebut akan menjadi penceritaan utama, dan bagaimana Andy menjadi penyelamatnya, sebaliknya penceritaan bahagian tersebut tamat dengan lebih awal, tanpa membawa apa-apa kesan besar. Sebaliknya, penceritaan beralih kepada nasib Runway sendiri selepas menerima pemilik baharu yang ingin mengurangkan kos perniagaan termasuk juga mengecilkan kumpulan Runway sendiri. Bagi menyelesaikan masalah ini Andy meminta bantuan Emily Charlton (Emily Blunt) yang kini bekerja sebagai eksekutif di Dior dan juga teman wanita kepada jutawan Benji Barnes (Justin Theroux).

Peralihan plot ini dilakukan dengan kurang kemas, apabila penceritaan memasuki fasa baharu saya rasa sedikit kecewa kerana apa yang berlaku di bahagian pertama sekadar alasan sahaja untuk Andy dan Miranda kembali bersama. Manakala fasa seterusnya, sekadar untuk menyertakan semula Emily di dalam penceritaan ini. Sasaran tersebut tercapai, kerana mereka bertiga akhirnya kembali terlibat diantara satu sama lain, akan tetapi bagi keseluruhan penceritaan ia terasa terlalu janggal dan banyak bahagian penceritaan yang diperkenalkan tidak dikembangkan dengan baik.
Filem ini cuba membawa beberapa permasalahan seperti pembuangan wartawan secara meluas, pemilik baharu yang ingin mengubah budaya sesuatu syarikat, dendam lama dan pelbagai lagi tetapi masalah-masalah ini disampaikan secara permukaan sahaja. Saya tidak menjangkakan yang filem ini akan menjadi satu filem untuk bercakap mengenai permasalahan ini secara mendalam, akan tetapi sekurang-kurangnya saya mengharapkan ia dapat disampaikan dengan lebih berkesan. Andy contohnya, dia juga menerima kisah cinta bersama Peter (Patrick Brammall), walaupun terdapat kesan emosi akan tetapi secara keseluruhannya ia terasa seperti kisah sampingan yang sepenuhnya boleh dibuang daripada filem ini kerana tidak membawa kesan yang besar.

Walau dengan penceritaan yang kurang berkesan dan menarik, pembawaan semula watak-watak ini dilakukan dengan baik oleh mereka bertiga, terutama Anne Hathaway yang benar-benar membawa kesan emosi kepada filem ini dengan dia menghadapi kebanyakan permasalahan yang ada. Selain itu, beberapa watak sampingan juga membantu untuk menyerikan lagi penceritaan dengan adegan-adegan komedi seperti Jin Chao (Helen J. Shen) pembantu kepada Andy, Nigel Kipling (Stanley Tucci) pembantu kepada Miranda dan juga kekasih kepada Emily yang sudah saya perkenalkan sebelum ini.
Akhir kata, melihat kembalinya watak-watak ikonik mungkin sudah mencukupi untuk peminat filem ini, akan tetapi bagi ingin penceritaan yang mendalam ataupun perkembangan daripada filem pertama, filem ini tidak berjaya memberikannya. Penceritaan terasa tidak tersusun dengan beberapa plot disertakan tetapi tidak dikembangkan dengan berkesan. Watak-watak masih disampaikan dengan menarik, terutama Anne Hathaway yang memainkan peranan besar untuk menyediakan emosi ke dalam filem yang tanpanya akan terasa sangat mendatar.


