Sony Pictures Malaysia telah mengumumkan yang filem lakonan Hugh Jackman, The Sheep Detective tidak lagi akan ditayangkan pada 8 Mei seperti diumumkan sebelum ini, sebaliknya penonton perlu menunggu beberapa minggu untuk tarikh baharu tayangan iaitu 27 Mei.
Diarahkan oleh Kyle Balda, pengarah di sebalik kejayaan francais animasi Minions, filem ini turut mendapat perhatian industri kerana skripnya yang digarap oleh Craig Mazin. Craig Mazin sebelum ini menerima pujian menerusi karya berprofil tinggi seperti Chernobyl dan The Last of Us. Projek ini turut diselia oleh penerbit eksekutif Phil Lord dan Christopher Miller.
The Sheep Detectives merupakan adaptasi daripada novel Three Bags Full karya Leonie Swann. Kisah filem ini berpusat kepada George, lakonan Hugh Jackman, seorang penternak yang mempunyai rutin membacakan novel penyiasatan kepada kawanan biri-birinya setiap malam, dengan anggapan haiwan tersebut tidak memahami apa-apa.
Konflik bermula apabila satu insiden misteri mengganggu ketenteraman ladang tersebut, yang membawa kepada kematian George. Plot cerita berkembang apabila kawanan biri-biri itu, yang sebenarnya memahami bahasa manusia dan selok-belok penyiasatan, bertindak menjadi detektif untuk merungkaikan petunjuk dan menyiasat suspek manusia bagi menyelesaikan kes tersebut.



Filem ini menampilkan barisan pelakon yang menggabungkan bakat aksi nyata dan pelakon suara. Selain Hugh Jackman, barisan pelakon aksi nyata turut dibintangi oleh Emma Thompson, Nicholas Braun, Nicholas Galitzine, Molly Gordon, dan Hong Chau.
Manakala bagi watak kawanan biri-biri, filem ini meminjam suara daripada nama-nama besar industri termasuk Julia Louis-Dreyfus, Bryan Cranston, Chris O’Dowd, Regina Hall, Patrick Stewart, Bella Ramsey, Brett Goldstein, dan Rhys Darby.


