Apple TV telah mengumumkan tarikh siaran untuk musim ketiga siri Silo dijadualkan bermula pada 3 Julai 2026. Musim ketiga ini akan mengandungi 10 episod secara keseluruhan. Siaran perdana akan bermula dengan satu episod pada 3 Julai, diikuti dengan satu episod baharu pada setiap hari Jumaat sehingga 4 September 2026.
Penceritaan musim baharu ini akan membawa penonton menyelusuri dua garis masa yang berbeza. Ia menyambung kisah penderitaan 10,000 penduduk silo pada masa kini dan pada masa yang sama membongkar kisah asal usul bagaimana kehidupan bawah tanah tersebut bermula beberapa abad yang lalu. Pada era masa kini, watak utama Juliette Nichols (dilakonkan oleh Rebecca Ferguson) didapati terselamat daripada paksaan “pembersihan” tetapi kembali dengan masalah hilang ingatan. Keadaan ini berlaku ketika komuniti silo sedang cuba memulihkan keadaan selepas tragedi pemberontakan sambil berhadapan dengan satu ancaman baharu yang berbahaya.
Sementara itu, garis masa lampau memfokuskan kepada wartawan Helen Drew (Jessica Henwick) dan Ahli Kongres Daniel Keene (Ashley Zukerman). Mereka berdua telah membongkar satu konspirasi yang akhirnya mencetuskan rantaian peristiwa dengan akibat buruk yang tidak boleh diubah lagi.



Selain Ferguson, pelakon yang kembali untuk musim ketiga termasuk Common, Harriet Walter, Chinaza Uche, Avi Nash, Shane McRae, Remmie Milner, Rick Gomez, Billy Postlethwaite, Clare Perkins, dan Steve Zahn. Barisan pelakon untuk musim ini turut dikembangkan dengan penyertaan Henwick dan Zukerman, bersama-sama Laura Innes, Jessica Brown Findlay, Morven Christie, Reed Birney, Matt Craven, serta penampilan berulang oleh Colin Hanks.
Siri drama yang diadaptasi daripada trilogi novel karya Hugh Howey ini diterajui oleh Graham Yost yang bertindak sebagai showrunner dan penerbit eksekutif, berserta Ferguson yang juga merupakan penerbit eksekutif. Silo diterbitkan oleh Apple Studios dan AMC Studios. Apple juga mengesahkan bahawa siri ini telah diperbaharui untuk musim keempat yang akan menjadi musim terakhirnya.
Dua musim terawal siri ini sudah boleh ditonton melalui platform Apple TV. Perkhidmatan penstriman ini ditawarkan kepada pengguna pada harga RM29.90 sebulan.


