OPPO telah melancarkan dua peranti mercu baharu di bawah siri Find X9 untuk pasaran Malaysia, iaitu OPPO Find X9 Ultra dan OPPO Find X9s. Model Ultra diketengahkan menerusi sistem lima kamera belakang yang menyertakan lensa telefoto optikal 10x dan dua penderia 200MP , manakala model X9s ditempatkan sebagai peranti yang memfokuskan penggunaan ketika melancong. Kedua-dua telefon pintar ini turut disokong oleh perkakasan pengimejan Hasselblad dan bateri berkapasiti melebihi 7,000mAh.

OPPO Find X9 Ultra dikuasakan oleh cip lapan teras Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 serta bateri berkapasiti 7,050mAh yang menyokong pengecasan berwayar 100W dan nirwayar 50W. Fokus utama peranti ini ialah modul kameranya yang merangkumi kamera utama 200MP dengan penderia Sony LYTIA 901 berukuran 1/1.12-inci, telefoto 200MP dengan zum 3x, telefoto 50MP dengan zum optikal 10x, kamera ultra-lebar 50MP, dan kamera multispektral True Color untuk ketepatan imbangan putih. Peranti ini menyokong rakaman video 8K pada 30 bingkai sesaat berserta sokongan profil O-Log2 untuk keanjalan suntingan warna pascapenerbitan. Paparan yang digunakan adalah panel AMOLED QHD+ bersaiz 6.82-inci dengan kadar segar semula 144Hz dan tahap kecerahan puncak mencapai 3,600 nits.
Sementara itu, OPPO Find X9s menggunakan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 9500s binaan 3nm. Telefon pintar setebal 7.99mm ini menggunakan paparan skrin rata bersaiz 6.59-inci dan dimuatkan dengan bateri 7,025mAh yang menyokong pengecasan berwayar 80W. Sistem tri-kameranya merangkumi tiga penderia 50MP untuk lensa utama, telefoto periskop 3x, dan ultra-lebar 120 darjah. Rakaman video bagi model ini menyokong resolusi 4K pada kadar 60 bingkai sesaat dengan format Dolby Vision HDR.

Kedua-dua peranti beroperasi pada sistem ColorOS 16 yang menawarkan ciri baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti AI Menu Translation dan AI Mind Pilot. Dari aspek ketahanan binaan luaran fizikal, siri Find X9 baharu ini memperoleh penarafan rintangan air dan habuk pada tahap IP66, IP68, serta IP69.
Pra-tempahan bagi siri OPPO Find X9 di Malaysia dibuka dari 21 April hingga 7 Mei 2026 melalui saluran rasmi dan pengedar sah jenama tersebut. Harga jualan rasmi adalah seperti berikut:
- OPPO Find X9 Ultra (12GB RAM + 512GB Storan): RM6,799
- OPPO Find X9 Ultra (16GB RAM + 1TB Storan): RM7,799
- OPPO Find X9s (12GB RAM + 512GB Storan): RM3,899


Model Ultra boleh didapati dalam kemasan warna Tundra Umber dan Canyon Orange. Model X9s pula ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Midnight Grey, Sunset Orange, dan Lavender Sky. Pembeli yang membuat pra-tempahan Find X9 Ultra akan menerima naik taraf kapasiti storan percuma kepada 16GB RAM dan 1TB. Pembeli peranti Find X9s pula layak mendapat rebat segera RM300 berserta kotak hadiah bernilai RM299.


