Windrose Crew bersama dengan EpicSoft Asia telah mengumumkan yang permainan co-op survival-adventure Windrose telah merekodkan jualan sebanyak 1 juta salinan hanya dalam tempoh enam hari selepas ia dilancarkan. Pencapaian komersial ini turut disokong oleh jumlah keterlibatan pemain yang tinggi, dengan rekod mencatatkan lebih daripada 200,000 pemain aktif serentak di dalam talian.
Kraken Express selaku pihak pembangun menyatakan bahawa tumpuan semasa mereka kini terarah kepada kerja-kerja pembaikan bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit di dalam permainan. Permainan bergenre adventure yang memfokuskan tema pelayaran lanun ini turut membawakan cabaran persekitaran yang spesifik kepada para pemain, termasuk serangan haiwan liar seperti babi hutan di dalam peta permainannya.
Windrose direka untuk dimainkan secara solo atau dalam pasukan co-op yang memuatkan sehingga empat orang pemain. Permainan ini memfokuskan kepada peralihan permainan yang lancar di antara persekitaran darat dan kapal laut. Di laut, pemain boleh mengemudi dan mengubah suai tiga jenis kapal baharu, iaitu ketch, brig, dan frigate. Sistem pertempuran tentera laut turut menyokong mod co-op di mana ahli kru boleh mengawal persenjataan kapal secara bersama untuk menumbangkan musuh, selain terlibat dalam pertempuran fizikal jarak dekat melalui aksi serbuan kapal.


