Pemain Sonic Racing: CrossWorlds kini boleh memuat turun kemas kini percuma terbaharu yang membawakan watak Red dari siri Angry Birds bermula 16 April 2026. Kemas kini ini bertindak sebagai penambahan kandungan kekal di samping pelancaran acara masa terhad yang akan mula berlangsung pada hari ini.

Menerusi kemas kini ini, Red menyertai barisan pelumba dengan memandu jentera khasnya yang dinamakan sebagai Super Roaster. Permainan ini juga menerima penambahan tiga litar perlumbaan baharu yang mengambil inspirasi daripada dunia Angry Birds. Dari segi audio, pemain mempunyai pilihan muzik latar baharu yang terdiri daripada “GO! Theme”, “GO! Theme for Final Lap”, dan “Angry Birds Theme”, di mana ia boleh ditetapkan secara terus melalui ciri Jukebox.

Sebagai pelengkap kepada kandungan baharu ini, acara “Angry Birds Festival” akan bermula 17 April hingga 20 April. Acara ini memerlukan pemain untuk menyertai salah satu daripada tiga pasukan dan bersaing mengumpul mata tertinggi. Mata festival ini boleh diraih dengan melengkapkan pelbagai objektif khusus sewaktu perlumbaan, seperti melakukan aksi Touch Boost.

Pemain yang mengumpul mata yang mencukupi layak mendapatkan pelbagai ganjaran eksklusif termasuk pelekat, hon, gelaran “Flock Star”, dan “Speed Character Kit”. Terdapat satu isu teknikal yang telah disahkan di mana ganjaran “Speed Character Kit” kini memaparkan teks “Speed Character Kit 2” di dalam permainan, namun ralat paparan ini akan diselesaikan melalui tampalan kemas kini akan datang.

Dalam perkembangan berasingan, versi demo percuma Sonic Racing: CrossWorlds juga telah dikemas kini untuk membolehkan pemain menggunakan jentera Extreme Gear. Demo ini menawarkan kebebasan untuk mengubah suai jentera, menggunakan Gadget, dan berlumba di dalam mod Grand Prix atau Time Trial.

Pemain yang mencuba demo ini boleh memindahkan fail simpanan mereka terus ke dalam permainan penuh sekiranya mereka memilih untuk membelinya kelak. Kemas kini demo terbaharu ini bagaimanapun hanya dilancarkan untuk platform PlayStation 5, Xbox Series, dan PC tanpa melibatkan platform Nintendo Switch.

Leave a Reply