Arena esukan tempatan kembali rancak apabila pendaftaran untuk pusingan kelayakan PUBG MOBILE National Championship (PMNC) Malaysia 2026 kini dibuka secara rasmi. Edisi tahun ini membawakan perubahan besar dalam peta hala tuju esukan permainan tersebut , menawarkan peluang keemasan kepada pasukan akar umbi dan amatur untuk merebut slot ke PUBG MOBILE Pro League (PMPL) Malaysia. Lebih menarik, pasukan yang layak akan bersaing di peringkat liga PMPL yang menawarkan hadiah terkumpul bernilai $50 ribu.

Pasukan yang bergelar juara PMNC tidak hanya akan berentap dengan pasukan-pasukan ternama di PMPL, malah berpeluang melangkah jauh hingga ke pentas antarabangsa. Selepas dua minggu saingan liga PMPL berlangsung, hanya 16 pasukan terbaik akan meneruskan kemaraan ke peringkat Grand Final.

Pemenang di peringkat ini kemudiannya akan mara ke peringkat serantau, di mana mereka akan berhadapan dengan pasukan-pasukan elit Asia Tenggara dalam sebuah kejohanan yang berlangsung selama tiga hari.

Dari saingan serantau tersebut, juara akan melayakkan diri ke acara PUBG MOBILE Global Open (PMGO) Musim 1. Kemuncak bagi peta hala tuju ini adalah peluang untuk mewakili negara menentang jaguh dunia di PUBG MOBILE World Cup (PMWC), sebuah kejohanan berprestij di bawah payung Esports World Cup.

Berbeza dengan pendekatan konvensional, penganjuran kelayakan PMNC kali ini dijalankan sepenuhnya di dalam aplikasi permainan. Format ini diperkenalkan bagi memperluaskan pencarian bakat baharu dari seluruh negara dengan lebih mudah.

Bagi pasukan yang berminat untuk menyahut cabaran ini, pemain hanya perlu ke bahagian ‘Tournament’ di dalam permainan dan memilih wilayah ‘Malaysia’ untuk mendaftar. Tetingkap pendaftaran telah bermula dan akan ditutup secara rasmi pada 4 Mac 2026, tepat jam 7:59 pagi (Waktu Malaysia / GMT +8).

Berikut adalah jadual rasmi untuk fasa kelayakan PMNC Malaysia 2026:

  • Pusingan Kelayakan Pertama: Bermula dari 6 hingga 8 Mac 2026
  • Pusingan Kelayakan Kedua: Bermula dari 13 hingga 15 Mac 2026
  • Siaran Langsung Grand Final: Acara kemuncak akan disiarkan secara langsung pada 27 hingga 29 Mac 2026

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan perincian teknikal mengenai PMPL dan Peringkat Akhir PMNC, para pemain digalakkan untuk menyertai saluran Discord rasmi kejohanan melalui pautan: https://q.me-qr.com/xluh6543.

Leave a Reply