Sempena sambutan ulang tahun ke-30 francais Diablo, Blizzard Entertainment telah mengumumkan kemaskini besar-besaran yang melibatkan penambahan kelas watak baharu, Warlock, ke dalam tiga judul utama mereka: Diablo IV, Diablo Immortal, dan Diablo II: Resurrected.

Pengumuman ini dibuat semasa acara Diablo 30th Anniversary Spotlight, yang turut mendedahkan pelan hala tuju kandungan francais tersebut menuju ke BlizzCon 2026 pada September nanti.

Diablo IV: Lord of Hatred Bawa Dua Kelas Baharu

Bagi peminat Diablo IV, pengembangan seterusnya yang berjudul Lord of Hatred dijadualkan pelancarannya pada 28 April depan. Pengembangan ini bakal memperkenalkan bukan satu, tetapi dua kelas watak baharu iaitu Warlock dan Paladin.

Warlock digambarkan sebagai pengguna magis gelap yang memanipulasi api dan rantai besi, manakala Paladin kembali sebagai watak berasaskan elemen cahaya suci. Kedua-dua kelas ini akan memainkan peranan penting dalam naratif baharu yang membawa pemain ke wilayah purba Skovos untuk berhadapan dengan Mephisto.

Selain watak baharu, Blizzard turut memperkenalkan sistem endgame yang dikemaskini:

  • War Plans: Sistem yang membolehkan pemain menyesuaikan laluan aktiviti permainan akhir mereka sendiri
  • Echoing Hatred: Mod cabaran berasaskan gelombang musuh dengan kesukaran yang meningkat secara berperingkat

Maklumat lanjut mengenai mekanik kelas Warlock dalam Diablo IV akan diperlihatkan dalam siaran langsung pembangun pada 6 Mac.

Kandungan Baharu Diablo II: Resurrected

Dalam satu kejutan buat komuniti permainan klasik, Blizzard telah melancarkan kemaskini Reign of the Warlock untuk Diablo II: Resurrected yang boleh dimuat turun bermula hari ini. Ini menandakan kali pertama permainan tersebut menerima kelas watak baharu dalam tempoh lebih 25 tahun.

Kelas Warlock dalam versi ini memfokuskan kepada penyeruan jembalang, mantera pengikat, dan transformasi fizikal.

Kemaskini ini turut membawakan penambahbaikan kualiti hidup (QoL) yang sering diminta oleh pemain, termasuk:

  • Loot Filters: Penapis barangan untuk memudahkan pengurusan inventori
  • Stash Tabs: Ruang simpanan tambahan yang lebih canggih
  • Chronicle System: Sistem baharu untuk menjejak pencapaian pemain
  • Endgame: Cabaran bos baharu “Colossal Ancients” yang boleh diakses dengan menggabungkan lima patung mistik yang diperolehi daripada bos Terrorized Act dalam tahap kesukaran Hell

Kemaskini Diablo Immortal

Bagi platform mudah alih, Diablo Immortal akan menerima kelas Warlock pada lewat tahun 2026. Versi Warlock ini menggunakan sihir terlarang Vizjerei dan memfokuskan kepada penguasaan terhadap jembalang seperti Soulgorger.

Pelan tahun 2026 untuk Diablo Immortal juga merangkumi kepulangan Andariel (Maiden of Anguish) dan pengenalan semula kota Lut Gholein yang kini terbahagi kepada dua zon: Common Ward dan High Ward. Pemain juga boleh menjangkakan zon baharu, kolaborasi IP, dan kemaskini kempen sepanjang tahun ini.

Leave a Reply