Apple Arcade bakal memperluaskan katalog permainannya bulan depan dengan pelancaran judul eksklusif Oceanhorn 3: Legend of the Shadow Sea pada 5 Mac. Pelancaran ini turut disertai oleh tiga permainan popular lain yang akan ditambah ke dalam perkhidmatan langganan tersebut sebagai versi “Plus”.
Dibangunkan oleh studio Cornfox & Brothers yang berpangkalan di Helsinki, Oceanhorn 3 merupakan sambungan kepada siri aksi RPG tersebut. Jalan ceritanya berlatarkan hampir seribu tahun selepas peristiwa Oceanhorn 2: Knights of the Lost Realm. Dalam judul terbaharu ini, pemain akan dibawa ke dunia berkonsepkan “techno-fantasy” untuk meneroka pulau-pulau yang hilang serta berhadapan dengan musuh berskala besar.

Permainan ini akan tersedia merentas ekosistem peranti Apple, termasuk iPhone, iPad, Mac, Apple TV, dan Apple Vision Pro. Ciri-ciri permainan yang diketengahkan termasuk mekanik pertempuran, penyelesaian teka-teki, dan first-person mode.
Selain Oceanhorn 3, tiga permainan sedia ada dari App Store akan memasuki katalog Apple Arcade pada 5 Mac tanpa sebarang iklan atau pembelian dalam aplikasi:
- Pocket Love!+ (HyperBeard): Sebuah permainan simulasi kehidupan dan hiasan rumah
- Flow Free+: Permainan teka-teki menyambung paip warna
- Doraemon Dorayaki Shop Story+ (Kairosoft): Simulasi pengurusan kedai manisan yang menampilkan watak manga popular, Doraemon

Bagi permainan sedia ada, Disney SpellStruck akan menerima kemas kini bertema Star Wars pada 19 Februari. Kemas kini ini membawakan tahap yang diinspirasikan daripada Episode IV – A New Hope serta watak-watak seperti Luke, Leia, Han, dan Chewbacca.
Peminat sukan pula boleh mengakses cabaran baharu dalam NFL Retro Bowl ’26 yang bertemakan Super Bowl LX, membolehkan pemain memilih antara pasukan Seattle Seahawks atau New England Patriots untuk bersaing di papan pendahulu.
Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM29.90 ataupun boleh didapati bersama dengan langganan Apple One.


