Pelanggan Prime Video bakal menerima pelbagai kandungan menarik pada bulan Februari ini. Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, platform penstriman ini membawakan pengembaraan baharu, siri kegemaran yang kembali, dan filem-filem wajib tonton untuk dinikmati bersama keluarga. Sama ada untuk maraton hujung minggu yang panjang atau masa santai, terdapat pelbagai pilihan untuk setiap mood penonton bermula bulan ini.
Sorotan utama bagi bulan Februari adalah tayangan filem aksi The Bluff pada 25 Februari. Filem yang berlatarbelakangkan Cayman Islands ini menampilkan Priyanka Chopra Jonas sebagai Ercell, seorang bekas lanun yang terpaksa kembali bertarung demi melindungi keluarganya apabila masa silamnya kembali menghantui. Karl Urban turut membintangi filem ini sebagai kapten yang kejam.
Bagi peminat siri jenayah, Cross kembali untuk Musim 2 pada 11 Februari. Aldis Hodge memegang watak Alex Cross, seorang detektif dan ahli psikologi forensik yang kini memburu seorang ‘vigilante’ kejam yang menyasarkan jutawan korup. Terdahulu pada 4 Februari, peminat siri pasca-apokaliptik Fallout boleh menyaksikan episod akhir (finale) bagi Musim 2 siri adaptasi permainan video popular tersebut.
Senarai kandungan bulan ini turut dimeriahkan dengan filem Relationship Goals pada 4 Februari yang dibintangi oleh Kelly Rowland dan Method Man, serta filem remaja Itali Love Me Love Me pada 13 Februari yang diadaptasi daripada novel popular Wattpad. Peminat genre thriller boleh menantikan siri 56 Days pada 18 Februari, sebuah kisah cinta yang bertukar menjadi misteri pembunuhan yang mendebarkan.
Prime Video turut membawakan dua dokumentari profil tinggi: Finding Harmony: A King’s Vision (6 Februari) yang memaparkan komitmen Raja Charles III terhadap alam sekitar dengan narasi oleh Kate Winslet , dan Man on the Run (27 Februari) yang memperlihatkan perjalanan karier Paul McCartney selepas era The Beatles.
Jadual Penuh Siaran Februari 2026
Berikut adalah senarai tarikh siaran untuk kandungan baharu di Prime Video bulan ini:
Minggu Pertama
- 4 Februari: Fallout Musim 2 (Episod Akhir)
- 4 Februari: Relationship Goals
- 6 Februari: Finding Harmony: A King’s Vision
Minggu Kedua
- 11 Februari: Cross Musim 2
- 13 Februari: Love Me Love Me
Minggu Ketiga
- 18 Februari: 56 Days
Minggu Keempat
- 25 Februari: The Bluff
- 27 Februari: Man on the Run
Prime Video boleh dilanggan dengan harga bermula RM25 sebulan atau RM228 setahun.


