Apple hari ini mengumumkan kemas kini kandungan untuk platform langganan permainan mereka, Apple Arcade, bagi bulan Februari. Menjadi tumpuan utama dalam senarai penambahan kali ini adalah kehadiran judul strategi terkemuka, Sid Meier’s Civilization VII Arcade Edition.

Bermula 5 Februari depan, pelanggan Apple Arcade boleh memuat turun dan memainkan Civilization VII tanpa kos tambahan. Versi “Arcade Edition” ini menjanjikan pengalaman permainan bertaraf AAA yang setanding dengan versi PC, namun dioptimumkan untuk peranti mudah alih. Ia akan menyokong permainan rentas platform pada iPhone, iPad dan Mac.

Seperti entri utama dalam siri ini, pemain akan ditugaskan untuk membina empayar yang kekal sepanjang zaman, membuat keputusan strategik yang membentuk keturunan budaya tamadun mereka, serta berevolusi mengikut era sejarah manusia yang berbeza. Penyertaan Civilization VII ini dilihat mengukuhkan lagi katalog permainan hardcore di platform tersebut, menyusuli penambahan PowerWash Simulator dan Cult of the Lamb baru-baru ini.

Selain Civilization VII, Apple turut memperkenalkan tiga lagi judul baharu yang akan dilancarkan serentak pada tarikh yang sama.

Salah satu yang menarik perhatian adalah Retrocade, sebuah hab permainan klasik yang membawakan judul-judul arked era 80-an seperti Asteroids, Bubble Bobble, Centipede, dan Galaga.

Menariknya, Retrocade menawarkan ciri integrasi khusus untuk Apple Vision Pro, di mana pengguna set kepala tersebut boleh merasai pengalaman simulasi berada di dalam pusat arked sebenar secara maya. Bagi pengguna tanpa Vision Pro, permainan ini masih boleh dimainkan seperti biasa pada iPhone dan iPad.

Dua lagi permainan yang akan menyertai katalog tersebut ialah:

  • Felicity’s Door: Sebuah permainan rentak yang membawa pemain mengembara melalui dunia mimpi
  • I Love Hue Too+: Permainan teka-teki psikedelik yang memfokuskan kepada penyusunan jubin warna dan spektrum cahaya, versi tambah baik daripada aplikasi popular di App Store

Bagi permainan sedia ada, Crayola Create and Play+ akan menerima kemas kini kandungan bermula 22 Januari ini. Ia bakal menampilkan acara masa terhad bertemakan musim sejuk bersama watak Paddington, merangkumi aktiviti seperti membina orang salji dan mewarna.

Perkhidmatan Apple Arcade di Malaysia ditawarkan pada harga langganan RM29.90 sebulan. Ia juga tersedia sebagai sebahagian daripada berkas langganan Apple One yang bermula daripada RM34.90 untuk pelan Individu.

Leave a Reply