Thunderbolts* hadir selepas Captain America: Brave New World yang mempunyai pelbagai bahagian yang mengecewakan, oleh itu tidak dapat dielakkan lagi untuk saya tidak memasang harapan yang tinggi bagi filem ini, terutama ia adalah percubaan seterusnya untuk membawa beberapa watak di dalam satu filem, ia bukan satu tugasan yang mudah. Pada masa yang sama, filem ini juga menjadi filem penutup untuk fasa kelima bagi MCU oleh itu saya mempunyai sedikit harapan yang ia tidak menjadi penutup yang mengecewakan, terutama untuk fasa yang secara keseluruhannya setakat ini, sedikit mengecewakan.

Jika anda mempunyai pemikiran sama, dengan besar hatinya saya boleh katakan Thunderbolts* tidak langsung mengecewakan. Saya masih akan mengatakan Guardians of the Galaxy(GotG) Vol. 3 merupakan filem terbaik untuk fasa ini, akan tetapi filem ini berada di atas bersama dengan filem James Gunn tersebut, tambahan pada itu, ia juga satu filem yang bagi saya lebih penting untuk kisah MCU yang seterusnya berbanding GotG. Saya juga boleh katakan penglibatan ramai watak tidak menjadi kelemahan bagi filem ini sebaliknya satu kekuatan.
Selepas Avengers: Endgame, pasukan Avengers yang kita kenali tidak lagi bersama di atas pelbagai sebab yang berbeza, perkara ini meninggalkan satu vakum untuk mencari kumpulan Avengers yang seterusnya. Salah seorang yang cuba untuk melakukannya Valentina Allegra de Fontaine yang seperti muncul di dalam siri serta filem-filem sebelum ini menggunakan kuasa politiknya untuk membentuk pasukan askar upahan tersendiri, antara yang menjadi ahlinya ialah Yelena Belova lakonan Florence Pugh.

Selepas kematian Natasha Romanoff dan juga kejadian-kejadian lepas, Yelena Belova masih lagi mencari kedudukannya di dalam dunia ini dan perkara tersebut membuatkan dia keseorangan dan mengalami masalah keyakinan diri tetapi ia tidak mengganggu dia untuk menyelesaikan tugasan-tugasan yang diberi. Termasuk juga menghancurkan bukti mengenai kajian tertentu di Malaysia. Saya boleh katakan melihat kepada prestasi Florence Pugh membawa watak Yelena di dalam filem ini, jika MCU ingin menjadikan Yelena sebagai muka baharu MCU saya sangat bersetuju.
Daripada adegan awal, Yelena terjun daripada bangunan Merdeka 118 sehinggalah adegan akhir, watak Yelena dilakukan dengan sangat berkesan dan memainkan peranan yang sangat besar untuk memastikan filem ini bukan sahaja menarik untuk ditonton tetapi berjiwa. Watak-watak lain, yang sudah diperkenalkan sebelum ini seperti Bucky Barnes lakonan Sebastian Stan, John Walker lakonan Wyatt Russell, Alexei Shostakov lakonan David Harbour atau watak baharu seperti Ava Starr (Ghost) lakonan Hannah John-Kamen dan Antonia Dreykov (Taskmaster) lakonan Olga Kurylenko juga disertakan dengan baik.

Masalah utama yang saya fikirkan mengenai filem ini adalah bagaimana mereka ingin memperkenalkan kesemua watak-watak ini dan menjadikan mereka bersama, dan saya boleh katakan filem ini melakukan dengan baik sekali dan tiada watak yang terasa dibazirkan. Setiap watak diperkenalkan dan disertakan bersama dengan sangat lancar dan saya tidak merasa sebarang kecacatan. Bucky Barnes contohnya, walaupun sudah muncul di beberapa filem dan mempunyai siri TV sendiri, tetapi pengenalan wataknya di dalam filem ini dilakukan dengan sangat baik membuatkan saya teruja dengan wataknya.
Saya juga boleh katakan yang walaupun Thunderbolts* lebih memfokuskan kepada bahagian kemanusiaan yang baik atau tidak untuk watak-watak ini, akan tetapi saya juga boleh katakan ia antara filem yang benar-benar memperlihatkan satu penceritaan buku komik. Filem ini mengadunkan kedua-dua tema penceritaan ini dengan baik sekali dan memberi penceritaan yang saya berpuas hati dengan penyelesaiannya. Perkara ini juga saya boleh katakan digambarkan dengan baik sekali melalui watak Bob lakonan Lewis Pullman yang juga menjadi Sentry dan Void. Wataknya boleh dikatakan sebagai watak antagonis akan tetapi ia bukan satu watak jahat yang ringkas tetapi mempunyai sifat yang lebih mendalam, sesuatu yang sudah lama tidak di bawa oleh filem MCU.

Setelah sekian lama, Thunderbolts* saya boleh katakan filem MCU yang apabila tamat, saya tidak mempunyai sebarang rungutan. Jika ada pun, ia bukan perkara yang besar tetapi lebih kepada penceritaan ini mudah untuk dijangka bagaimana ia berakhir, bahagian penting di pengakhiran juga mungkin tidak akan disukai oleh sesetengah penonton. Namun, bagi saya ia bukan masalah yang besar, walaupun mudah untuk dijangka tetapi kerana penyampaian yang baik ia tidak menjadi masalah kepada saya. Saya juga memahami mengapa bahagian akhir dilakukan sedemikian kerana ia bukan sekadar kisah baik lawan jahat tetapi lebih kepada itu, ia kisah mengenai manusia.
Akhir kata, selepas Guardians of the Galaxy Vol. 3, Thunderbolts* adalah filem terbaik untuk Multiverse Saga dan ia menutup MCU fasa kelimat yang sedikit mengecewakan secara positif. Filem ini membawa penceritaan kemanusiaan dan adiwira dengan sangat baik sekali, ia tidak mempunyai watak jahat yang tradisional sebaliknya membawa watak yang lebih mendalam. Florence Pugh sangat bersinar di dalam pembawaan wataknya dan disokong lagi dengan watak-watak lain yang walaupun ramai tetapi tidak terasa membazir dan memberi nilai tambah kepada keseluruhan penceritaan.
Penafian: Tayangan awal disediakan oleh Disney Malaysia untuk tujuan ulasan ini. Filem ini mempunyai dua adegan pasca-kredit.