Skip to main content

Musim pertama untuk Andor bagi saya merupakan siri terbaik bagi Star Wars yang pernah diterbitkan di Diseny+ Hotstar walaupun dengan beberapa lagi siri menarik yang lain seperti The Mandolarian dan Ahsoka, oleh itu tidak salah jika saya mempunyai harapan yang tinggi untuk musim ini, namun mungkin harapan saya terlalu tinggi kerana siri ini sedikit mengecewakan terutama pemilihan cara penceritaan disampaikan, tambahan lagi pada bahagian awal untuknya.

Andor musim pertama bermula dengan perlahan juga sebelum ia berkembang untuk menjadikan penceritaan yang lebih baik, musim kedua ini cuba untuk melakukan perkara yang sama tetapi bagi saya ia sedikit janggal kerana ia bukan lagi permulaan sebaliknya sudah memasuki musim kedua dan saya berharap ia meneruskan secara terus daripada yang ditinggalkan sebelum ini.

Selepas kejadian di musim pertama, Cassian Andor lakonan Diego Luna kini menjadi sebahagian daripada kumpulan perisikan yang diketuai oleh Luthen Rael lakonan Stellan Skarsgard. Cassian juga bersama dengan Bix Caleen lakonan Adria Arjona, perhubungan mereka semakin rapat, dan di bahagian awal saya boleh katakan fokus perwatakan untuk Cassian adalah mengenai perhubungannya dengan Bix, ia baik di dalam pembinaan watak untuk Andor dan juga Bix akan tetapi bahagian mereka terasa sangat meleret dan kurang menarik.

Siri ini mempunyai 12 episod, dengan ia dibahagikan kepada 4 penceritaan utama dengan satu penceritaan akan mempunyai 3 episod, dan peralihan masa selama setahun akan berlaku selepas penceritaan tersebut. Konsep ini tampak menarik di atas kertas, akan tetapi bagi saya pelaksananya mengecewakan. Penceritaan pertama dan kedua bagi saya tidak mempunyai fokus yang jelas, melibatkan terlalu ramai watak, dan terasa plot berada di merata tempat.

Siri ini seperti kita ketahui melibatkan banyak drama politik dan penceritaan ini memfokuskan kepada perkara tersebut. Jika anda menyukainya, ia akan menjadi menarik tetapi bagi saya ia kurang menarik terutama watak-watak yang mendukung siri ini semasa musim pertama seperti Cassian,Luthen, dan Bix tidak terlalu menyerlah sebaliknya watak seperti Syril Karn dan Deedra Meero menjadi lebih menari. Tambahan lagi, Cassian juga terasa bagaikan sudah melupai kejadian pada musim lepas dan kembali menjadi satu watak yang masih lagi tidak menentu ala tujunya.

Masalah lain membahagikan penceritaan kepada beberapa bahagian ini, setiap bahagian bagaikan bermula semula, membuatkan penceritaan meningkat untuk mencapai klimaks, tetapi turun semula untuk menjadi permulaan walaupun mengikut masa ia masih bergerak ke depan. Cara penyampaian ini boleh dijadikan menarik tetapi siri ini kurang berjaya untuk melakukannya.

Selepas penceritaan memasuki kisah yang ketiga, iaitu episod ketujuh dan seterusnya, ia kembali menjadi siri Andor yang saya sukai daripada musim lepas. Penceritaan kini mempunyai lebih fokus, dengan setiap watak memainkan peranan yang jelas dan memberikan pengalaman tontonan yang memuaskan. Cassian masih lagi keliru dengan peranannya di dalam kesemua ini, tetapi kerana perwatakannya dia masih melakukan apa sahaja yang boleh membantu orang sekitar.

Dua bahagian ini juga disampaikan dengan lebih kemas, setiap adegan terasa tidak membazir dan setiap watak memainkan peranan mereka dengan baik untuk menggerakkan penceritaan yang kedepan. Ia juga mula jelas mengenai perkara yang cuba disampaikan melalui siri ini, yang seperti filem Rogue One, ia adalah mengenai pejuang yang sudah menyedari nasib mereka tetapi masih melakukan apa yang diperlukan demi mencapai sasaran mereka.

Enam episod terakhir serba sedikit membantu untuk memberi kepuasan kepada saya menonton siri ini, akan tetapi enam episod permulaan membuatkan ia siri yang agak sukar untuk diikutkan terutama bagi yang mengharapkan penerusan daripada musim pertama. Ia ada memberi impak emosi kepada episod berikutnya, tetapi tidak lebih daripada itu yang bagi saya sedikit mengecewakan.

Jika bercakap mengenai adegan-adegan yang akan diingatkan oleh penonton, saya juga merasakan musim ini kurang mempunyainya berbanding musim pertama yang mempunyai momen-momen penting. Satu perkara yang musim kedua ini berjaya lakukan adalah membuatkan saya bersemangat untuk menonton semula filem Rogue One.

Siaran untuk kesemua 12 episod Andor musim dua disediakan oleh Disney+ Hotstar.

Andor (Musim 2)
Bahagian awal sedikit bercelaru dan ingin melakukan terlalu banyak perkara pada satu masa sehinggakan tiada apa yang terjadi, tetapi bahagian seterusnya lebih menarik dan disampaikan dengan kemas memberi penutup yang memuaskan dan akan membuatkan semua ingin membuka semula filem Rogue One.
Positif
Satu siri Star Wars yang berjiwa
Bahagian kedua yang memuaskan
Negatif
Bermula dengan perlahan
Tiada watak yang menyerlah
8

Leave a Reply

Final Score