Skip to main content

Ubisoft dan Tencent pagi ini mengumumkan penubuhan subsidiari baharu yang akan membangunkan permainan siri Assassin’s Creed, Far Cry, dan Tom Clancy’s Rainbow Six. Syarikat baharu ini adalah bernilai €4 bilion (~RM 19.13 bilion) dengan Tencent melaburkan €1.16 bilion (~5.55 bilion) bagi memegang 25% pegangan syarikat. Ketika artikel ditulis nama syarikat baharu belum diumumkan tetapi ini akan dilakukan selepas transaksi dimuktamadkan menjelang penghujung tahun ini.

Sebelum ini Tencent sudahpun memegang 10% saham Ubisoft dengan ura-ura mereka berminat mengambil alih syarikat daripada keluarga Guillemot yang menubuhkannya pada tahun 1986. Dengan ini semua permainan di bawah siri Assassin’s Creed, Far Cry, dan Tom Clancy’s Rainbow Six akan dibangunkan oleh subsidiari baharu.

Semua IP permainan yang pernah dibangunkan, sedang dibangunkan dan akan dibangunkan selepas ini juga akan dipegang selama-lamanya oleh subsidiari baharu. Studio yang akan terlibat pula ialah Ubisoft Montréal, Quebec, Sherbrooke, Saguenay, Barcelona, dan Sofia.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Ubisoft, mereka berkata dengan lebih besar ia akan memacu peningkatan lagi dalam kualiti pengalaman solo naratif, mengembangkan tawaran permainan multi pemain menerusi peningkatan kekerapan keluaran kandungan, memperkenalkan permainan percuma untuk dimainkan dan mengintegrasikan lebih banyak ciri sosial.

Pada ketika ini Tencent sudah memiliki atau melakukan pelaburan besar ke dalam syarikat permainan video Riot Games, Epic Games, Larian Studios, From Software, Krafton, Activision Blizzard, Remedy, Supercell dan banyak lagi.

Leave a Reply