Kita sudah memasuki minggu terakhir bulan Ramadan, dengan Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut sama ada pada 31 Mac ataupun 1 April, dengan musim raya ini, satu yang pasti adalah ramai yang akan pulang ke kampung untuk berjumpa dengan sanak saudara. Walaupun, hari raya ini seharusnya diisi dengan menziarahi keluarga, saudara dan rakan-rakan tetapi mungkin ada masa terluang yang boleh digunakan untuk bermain menonton filem-filem menarik.
Melalui artikel ini, kami akan berkongsi 10 filem tempatan menarik yang boleh menjadi tontonan bersama dengan keluarga ataupun rakan-rakan. Bagi pemilihan untuk senarai ini, kami memilih filem yang diterbitkan pada tahun 2023 ataupun lebih terkini, filem yang kami berpendapat sesuai untuk tontonan umum dan seperti judul, ia mesti filem tempatan.
Dongeng Sang Kancil
Platform: Netflix
Satu-satunya filem animasi tempatan yang ditayangkan di pawagam pada tahun lepas dan ia juga merupakan filem animasi terbaru oleh Les’ Copaque iaitu pencipta untuk siri Upin dan Ipin. Filem ini adalah mengenai Sang Kancil yang bijaksana menjadi harapan haiwan-haiwan lain di hutan selepas mereka terancam dengan Harimau Kumbang yang mengganas. Walaupun kami berpendapat yang filem ini sesuai untuk tontonan umum, tetapi terdapat beberapa adegan ganas yang melibatkan haiwan.
Memoir Seorang Guru
Platform: Netflix
Filem berdasarkan novel berjudul sama yang ditulis oleh Azizi Abdullah mengisahkan mengenai Sunan iaitu seorang guru yang tidak menyukai pekerjaannya akan tetapi sekadar bekerja kerana terpaksa, apabila dipindahkan ke sebuah sekolah di pedalaman, dia mula menyedari pentingnya seorang pendidik bagi kehidupan pelajar-pelajarnya. Filem ini diarahkan oleh Kyoll Hamzah dengan Rosyam Nor sebagai pelakon utama.
Sheriff: Narko Integriti
Platform: Netflix
Filem tempatan kedua dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman menjanjikan penceritaan yang mantap, penuh dengan aksi dan pelbagai selok belok plot yang akan membuatkan penonton berada di penghujung kerusi. Filem ini mengisahkan mengenai Sheriff lakonan Zul Arifin yang cuba mencari pembunuh bersiri yang membunuh anggota polis yang korup. Filem ini diarahkan oleh Syafiq Yusof.
Imaginur
Platform: Prime Video
Filem cereka sains cinta yang memfokuskan kejadian aneh yang berlaku kepada Zuhal lakonan Beto Kusyairy termasuk juga apabila dia berjumpa dengan Nur lakonan Diana Danielle. Di dalam kekeliruan ini, dia tidak dapat mengesahkan sama ada Nur seorang yang betul ataupun sekadar imaginasinya sahaja. Filem ini diarahkan oleh Nik Amir Mustapha yang juga penulis bersama dengan Redza Minhat.
Housekeeping?
Platform: Prime Video
Johan lakonan Alif Satar yang bekerja di hotel mempunyai masalah keluarga kerana masalah kewangan dan semakin hampir untuk bercerai dengan isterinya. Dia bagaikan telah menerima ‘durian runtuh’ apabila menjumpai satu beg yang terisi dengan wang. Namun, kegembiraan tersebut tidak berkekalan apabila dia dapati yang wang tersebut dimiliki oleh kumpulan penjahat dan juga menjadi buruan polis.
Jangan Lupa Aku Cinta Padamu
Platform: Prime Video
Filem lakonan Azrel Ismail dan arahan Teddy Chin ini adalah mengenai seorang lelaki yang tidak gembira dengan kehidupannya terutama dengan perhubungan cintanya. Dia kemudian menjumpai satu mesin basuh di kedai dobi yang dapat mengembalikannya ke masa silam. Dia cuba menggunakan mesin tersebut untuk memperbaiki kehidupannya tetapi perkara lain yang terjadi.
Reversi
Platform: Astro First
Satu lagi filem cereka sains dan juga berkait dengan time travel, filem ini adalah mengenai Akid lakonan Beto Kusyairy yang mempunyai kebolehan untuk kembali ke masa silam, akan tetapi di dalam cubaannya untuk memperbetulkan satu tragedi, dia sebaliknya membuat realiti lebih teruk melalui setiap percubaan yang dilakukannya. Filem ini diarahkan oleh Adrian Teh.
Don Dukun
Platform: Astro First
Filem komedi seram ini diarahkan oleh Wan Hafiz dan menggabungkan dunia bomoh dan juga dunia influencer ataupun pempengaruh. Don Arif lakonan Zul Ariffin telah menjadi bomoh terkenal selepas videonya menyelamatkan seorang wanita yang dirasuk tertular di media sosial. Populariti ini menjadikan Don Arif mendapat permintaan tinggi untuk perkhidmatannya tetapi ia mungkin bukan satu perkara yang baik.
Tumpat Berdarah
Platform: Tonton
Filem yang dihasilkan oleh Sabri Yunus dan menggunakan loghat Kelantan ini memfokuskan kepada percintaan di antara Wan Zaki lakonan Mathni Razak dan Anis lakonan Octovia Manrose yang tidak direstui oleh kedua-dua keluarga mereka kerana satu dendam lama. Pergaduhan ini berlarutan sehingga menjadi satu pergaduhan yang berdarah.
Enam Sebelah
Platform: Tonton
Kisah persaingan di antara dua kelab amatur bola sepak dari Johor Bahru iaitu Majidee United dan Perling Rovers. Pada awalnya Majidee United menjadi tumpuan terutama dengan gadingan pemain hebat iaitu Yasin lakonan Aniq Suhair dan Karim lakonan Fadhli Masoot. Namun, apabila Yasin tercedera dan Perling Rovers mendapat pemain baharu yang berbakat iaitu Khalid lakonan Wafiy Aan, tumpuan tersebut telah beralih.