Matt Remick lakonan Seth Rogen baru sahaja dinaikkan pangkat menjadi ketua bagi Continental Studios iaitu studio penerbitan filem, sesuatu yang pada awalnya merupakan impiannya tetapi tidak mengambil masa yang lama untuk dia sedari yang jawatan tersebut lebih kepada satu mimpi ngeri. Selaku ketua studio, dia bertanggungjawab untuk menentukan filem yang akan diterbitkan tetapi keputusan tersebut tidak semestinya sepenuhnya di tangannya.

Siri ini memfokuskan kepada bagaimana permasalahan-permasalahan yang hadir di dalam menghasilkan sesuatu filem, tidak kira mengenai pemilihan filem, pemilihan pelakon dan juga pengarah, bahagian kreatif yang tidak menyukai ‘eksekutif’, dan sesuatu yang sering berlaku, Matt Remick tidak selalu mendapat apa yang dia inginkan dan ada masa dia akan dipandang rendah. Siri ini boleh dikatakan sebagai satira untuk industri perfileman akan tetapi oleh kerana penyampaian yang baik, agar sukar untuk mengatakan ia sekadar satira.

Setiap episod di dalam siri ini akan mempunyai permasalahan tersendiri dan bagi kebanyakan episod ia tidak berkait satu sama lain, melainkan episod pertama dan beberapa episod terakhir yang boleh dikatakan sebagai episod yang bersambung. Bagi saya penyampaian ini adalah baik kerana ia memberi ruang yang lebih untuk menyampaikan sesuatu yang berbeza setiap episod, dan saya juga boleh katakan yang setiap episod mempunyai pengenalan, klimaks dan penyelesaian yang tersendiri yang memberi pengalaman tontonan yang memuaskan.

Permasalahan untuk setiap episod walaupun kelihatan ringkas, tetapi ia disampaikan bagaikan satu masalah terbesar yang mereka hadapi, dan setiap episod daripada siri ini mengingatkan saya kepada episod di dalam siri The Bear – ia disampaikan secara cemas, dengan kamera bergerak pantas, dengan setiap watak di dalam keadaan huru-hara, dan ada sahaja perkara yang tidak disangkakan berlaku. Siri ini berjaya mengekalkan penyampaian sebegini untuk setiap episod merupakan perkara yang agak menakjubkan.

Bersama dengan Seth Rogen sebagai Matt Remick, siri ini diperkuatkan lagi oleh Catherine O’Hara, Ike Barinholtz, Chase Sui Wonders dan Kathryn Hahn yang membawa watak eksekutif-eksekutif yang membantu Matt. Perwatakan mereka juga dilakukan dengan baik dan mengiringi watak Matt dengan baik sekali. Ada juga episod yang akan memberi fokus kepada mereka berbanding Matt, dan saya itu adalah baik untuk membina perwatakan mereka.

Setiap episod juga akan menyertakan pelakon, pengarah dan juga eksekutif yang akan menjadi diri mereka sendiri, penampilan mereka boleh dipanggil sebagai cameo, tetapi cameo yang berkesan kerana permasalahan ataupun penceritaan bagi episod itu akan berkait terus dengan mereka. Saya sentiasa ternanti-nanti siapa yang akan membuat penampilan di episod yang seterusnya. Bahkan, terdapat juga beberapa pelakon yang benar-benar berlakon di dalam sebuah ‘filem rekaan’ yang membuatkan saya ingin melihat filem tersebut dihasilkan.

Seperti saya nyatakan sebelum ini, selepas episod pertama setiap episod membawa penceritaan yang berlainan sehinggalah episod akhir yang bersambung, yang membantu untuk memberi gambaran yang permasalahan bagi episod terakhir ini adalah lebih besar berbanding sebelum-sebelum ini dan akan memerlukan dua atau tiga episod untuknya yang bagi saya cara yang baik untuk menamatkan musim bagi siri ini.

The Studio merupakan satu siri satira ataupun siri yang memfokuskan kepada ironi mengenai industri perfileman, walaupun setiap episod bagi siri ini akan mengharapkan gelak tawa daripada penonton yang saya dengan senang hati untuk berikan akan tetapi pada masa yang sama siri ini juga mengetengahkan permasalahan-permasalahan mengenai industri ini dengan baik dan membantu di dalam penyampaian tersebut adalah Matt Remick selaku ketua studio kebiasaannya menjadi punchline untuk setiap perkara ini.

The Studio mula disiarkan di Apple TV+ pada 26 Mac 2025.

The Studio
Satu satira atau kisah ironi mengenai industri filem, tetapi mesej serta permasalahan disampaikan dengan baik, menarik dan penuh komedi dengan Matt Remick lakonan Seth Rogen selaku ketua studio kebiasaannya menjadi punchline untuk setiap perkara ini.
Positif
Setiap episod sangat padat
Penyampaian berkesan dan menarik
Lakonan mantap
Negatif
Tiada penceritaan utama sehingga episod akhir
9

Leave a Reply

Final Score