Skip to main content

Adakah Assassin’s Creed Shadows permainan yang patut dibeli hari ini? Untuk mendapatkan jawapan pantas saya akan bertanya kepada anda tiga soalan ringkas. Adakah anda menyukai Valhalla, Odyssey dan Origins sebelum ini? Adakah anda mempunyai lebih 100 jam masa terluang di dalam dunia Shadow? Akhir sekali adakah anda tidak peduli dengan pelbagai kontroversi yang hangat dibahaskan media sosial mengenai Shadows? Jika anda menjawab ya kepada ketiga-tiga soalan maka belilah Shadows sekarang.

Tetapi jika anda mahukan ulasan lebih terperinci maka bacalah ulasan ini dari sudut pandangan saya seorang peminat tegar sejak permainan pertama Assassin’s Creed yang dilancarkan pada tahun 2007. Yang saya boleh katakan di awal artikel ulasan ini ialah saya menyukai jalan cerita, mekanik, dunia dan kekejaman Shadows. Yang saya tidak gemar hanyalah jumlah side mission yang terlalu banyak dan pacing awal permainan yang agak perlahan

PLOT

Pujian diberikan kepada cerita yang cukup berliku-liku dengan bahagian 3rd act yang cukup menarik kerana rahsia besar didedahkan. Shadows juga cukup bijak menyelitkan bagaimana ninja/shinobi di Jepun boleh menjadi ahli Assassin’s/The Hidden Ones. Shadows akhirnya memberikan jalan cerita di Jepun yang sudah diacah di penghujung permana pertama 18 tahun yang lalu. Jalan cerita Shadows ialah ketika era Sengoku semasa Oda Nobunaga cuba menggabungkan Jepun yang pada waktu tersebut terdiri daripada beberapa negara kecil.

Watak pertama ialah Fujibayashi Naoe yang merupakan seorang shinobi yang menjadi mangsa serangan Oda Nobunaga. Kampung Naoe diserang oleh Nobunaga dan ia menjadi motivasi beliau untuk membalas dendam.

Sementara itu Yasuke pula seorang abdi yang dibawa oleh pedagang dan mubaligh Portugis ke Jepun. Pertemuan dengan Nobunaga menyebabkan beliau diangkat menjadi seorang samurai. Plot utama Shadows ialah bagaimana Naoe dan Yasuke boleh bekerjasama walaupun samurai berbangsa Afrika ini bersekongkol dengan Nabunaga dalam melakukan penghapusan etnik.

Masalah pertama dan saya rasakan paling utama ialah dua watak protagonis yang memerlukan masa untuk diceritakan latar belakangnya. 10 jam pertama permainan hanya menceritakan motivasi dan kemudiannya latar belakang Naoe dan Yasuke. Dalam permainan biasa ini dilakukan dalam masa 3-5 jam. Tetapi dengan dua watak dengan cerita dan gaya permainan berbeza, 10 jam pertama Shadows adalah amat perlahan sehingga membosankan.

Ada sebab mengapa filem, siri TV dan permainan video yang bagus lazimnya hanya mempunyai satu babak utama. Pada waktu yang sama saya tidak boleh salahkan Ubisoft kerana tanpa cerita latar belakang ini, Naoe dan Yasuke akan sekadar menjadi watak 2 dimensi yang tidak menarik pula untuk dimainkan.

10 jam pertama yang perlahan ini tidak dibantu oleh penggunaan flashback yang terlalu banyak dan kerap sebagai segmen tutorial mengawal watak. Ini membunuh momentum kerana setiap babak silam ini akan mempunyai cutscene yang potong stim. Saya ingin memancung Ronin, dan Shinobi seperti Mortal Kombat bukan Bayangkan selepas 10 jam masih ada beberapa tutorial yang WAJIB dilakukan kerana terdapat terlalu banyak mekanik permainan yang perlu dipelajari.

Bercakap tentang misi terdapat satu misi utama mencari Templar dengan lebih 20 lagi jenis misi sisi yang boleh dilakukan sehingga ketika ulasan di tulis saya belum menghabiskannya. Antara yang ditawarkan ialah memanah di belakang kuda, menceroboh kota kara, memburu Ronin, menyelesaikan misteri Yokai (ini kegemaran saya) dan mempelajari Kata bertempur (mengajar combo senjata menggunakan ritma seakan Dance Dance Revolution).

Misi utama sahaja memerlukan lebih 35 jam dan saya rasakan keseluruhan misi sisi akan memerlukan lebih 100 jam permainan untuk diselesaikan sepenuhnya. Shadows adalah sama seperti Valhalla, Odyssey dan Origins dimana anda akan memerlukan beberapa minggu untuk mendapatkan piala Platinum. Bagi yang tidak sukakan misi busy work yang bertimbun, saya sarankan anda membeli Shadows yang hanya “sepanjang” 25 jam untuk dihabiskan sepenuhnya.

CORAK PERMAINAN

Saya yakin kerana permulaan yang sangatlah perlahan dan membosankan ini ada segelintir pemain akan berhenti terus daripada meneruskan misi. Ubisoft seperti tidak belajar daripada kesilapan Valhalla yang turut mempunyai isu yang sama. Sudahlah perlahan, mekanik permainan yang kompleks menjadikan 10 jam pertama pengalaman yang cukup getir. Mati berkali-kali sehinggalah saya perlu menggunakan falsafah Git Gud yang diamalkan pemain Dark Souls.

Tetapi saya boleh katakan ianya berbaloi. Selepas mekanik dipelajari, skill tree dikemaskini dan senjata yang sebati dengan gaya permainan Shadows menawarkan pengalaman yang mengasyikkan. Selepas lebih 45 jam, saya masih tidak bosan melihat Yasuke memenggal kepala musuh dengan katana, memecahkan tengkorak dengan tukul dan Naoe menggunakan teknik siluman menikam musuh dengan hidden blade. Jika anda seorang masochist ini ialah permainan untuk anda. Mati berulang kali sehingga menjadi ONI di bumi Jepun pada kurun ke-16.

Saya berikan pujian kepada Ubisoft kerana memberikan kebebasan kepada pemain untuk membina watak yang paling serasi dengan jiwa seperti sebuah RPG. Mahu menjadi siluman tidak dapat dikesan membunuh dalam gelap? Pilihlah Naoe dan gunakan senjata seperti tonto, katana pendek dan sabit berantai. Lebih gemarkan kekerasan melampau? Gunakan Yasuke yang dilengkapi katana panjang, senapang, tukul, dan naginata. Secara peribadi saya lebih gemar menggunakan otot berbanding otak dan oleh itu 70% misi saya selesaikan dengan Yasuke.

GRAFIK dan AUDIO

Grafik Shadows adalah cantik untuk sebuah permainan Ubisoft. Ia setara dengan Valhalla tetapi masih tidak sebaik AC Unity. Malahan dari segi grafik ia tidak sebaik Horizon Zero Dawn, Death Stranding atau Ghost of Tsushima. Kenapa permainan lama grafiknya lebih baik? Jawapannya mungkin kerana enjin Ubisoft Anvil yang digunakan Shadows sudah agak berusia.

Ini dibantu oleh performance mode di PS5 yang menawarkan 60FPS dengan agak konsisten. Di PS5 saya sarankan performance mode kerana quality mode membuatkan visual langsung tidak lancar. Saya tiada pula PS5 Pro atau PC berkuasa untuk melihat perbezaan sekiranya anda antara ketiga-tiga platform.

Yang tidak konsisten ialah animasi wajah dan mulut dalam Bahasa Inggeris. Saya yakin penekanan diberikan hanya kepada animasi wajah dan cutscene Bahasa Jepun kerana ianya jauh lebih baik. Bukan itu sahaja audio Bahasa Jepun juga lebih realistik berbanding Bahasa Inggeris yang kedengaran terlalu mendatar seperti tiada emosi.

KESIMPULAN

Kesimpulannya sama sahaja seperti perenggan pertama di atas. Jika anda memang mencari permainan yang memerlukan ratusan jam untuk dihabiskan, cerita yang menarik dan mahukan perkara yang sama seperti Valhalla – Assassin’s Creed Shadows ialah untuk anda. Pilihan dua watak protagonis yang berbeza adalah satu elemen menyegarkan daripada Ubisoft kerana dapat dirasakan perbezaannya. Oleh sebab itu saya bercadang memainkan semula Shadows kelak hanya menggunakan Naoe untuk pengalaman yang berbeza.

Tetapi harus ditekankan, Shadows ialah jelas dihasilkan untuk peminat Assassin’s Creed sedia ada kerana ia amatlah Ubisoft. Misi banyak, cerita kurang fokus di bahagian awal dan proses menjadikan Naoe/Yasuke kuat adalah proses yang sangat grindy. Jika anda baru ingin mencuba Assassin’s Creed saya tidak boleh sarankan Shadows kerana lore yang tidak begitu disentuh sehingga boleh menyebabkan kekeliruan. Untuk anda saya sarankan beli sahaja Assassin’s Creed : Ezio Trilogy yang masih lagi mantap dan lebih lauk daripada nasi.

Assasin’s Creed Shadows dilancarkan pada 20 Mac 2025. Kod permainan disediakan oleh Ubisoft bagi tujuan ulasan ini.

Assassin's Creed Shadows
Shadows ialah jelas dihasilkan untuk peminat Assassin's Creed sedia ada kerana ia amatlah Ubisoft. Misi banyak, cerita kurang fokus di bahagian awal dan proses menjadikan Naoe/Yasuke kuat adalah proses yang sangat grindy.
Positif
Dua watak protagonis bukan gimik tetapi menawarkan pengalaman permainan yang amat berbeza.
Jalan cerita secara keseluruhan tidak mengecewakan.
Grafik Jepun zaman Sengoku sangat cantik dan realistik.
Terdapat banyak aktiviti. Sekitar 35 jam hanya untuk jalan cerita utama.
Negatif
Jalan penceritaan di peringkat awal terlalu perlahan dan kerap diganggu.
Audio dan gerak mulut versi Bahasa Inggeris tidak sebaik Bahasa Jepun.
Permainan Ubisoft yang dipenuhi kerenah biasa Ubisoft.
8

Leave a Reply

Final Score