Selepas membuat penampilan di dalam beberapa filem MCU, menerima siri TV sendiri sebagai Falcon, Sam Wilson lakonan Anthony Mackie akhirnya menerima filem kendiri, dan membawa satu tugasan penting bukan sahaja bercakap di dalam konteks penceritaan, tetapi juga konteks umum kerana dia kini membawa mantel Captain America yang kini meletakkan perisainya kerana sudah berumur bagi konteks filem dan sibuk dengan projek berlainan jika bercakap mengenai realiti. The Falcon and the Winter Soldier merupakan satu siri TV yang baik di dalam memperlihatkan ‘kenaikan pangkat’ daripada The Falcon kepada Captain America, malangnya Captain America: Brave New World gagal menjadi berani ataupun baharu.
Filem ini mempunyai beberapa masalah, tetapi masalah yang mungkin menjadi bualan ramai, walaupun bagi saya bukan satu masalah yang penting adalah mengenai watak Ruth Bat-Seraph lakonan Shira Haas. Watak ini, sepatutnya mengadaptasi watak Sabra iaitu watak yang mempunyai latar belakang yang berkait terus dengan Mossad. Dengan konflik yang berlaku di Palestin, Marvel telah memilih untuk mengubah watak tersebut menjadi sesuatu yang berlainan, di dalam filem ini Ruth Bat-Seraph berasal daripada Israel tetapi dia dilatih sebahagian daripada Red Room seperti Natasha Romanoff dan juga Yelena Belova.

Latar belakang untuk Ruth Bat-Seraph bagi saya bukan satu masalah, tetapi penggunaan wataknya di dalam filem ini terasa sangat janggal. Dia menjadi ketua keselamatan untuk Thaddeus Ross yang menjadi Presiden Amerika Syarikat, tetapi selepas beberapa kali membuat penampilan, berinteraksi dengan Ross, Captain America kemudian dia bagaikan menghilang, dengan wataknya lebih kepada menjadi pengisi ataupun menjadi transisi kepada adegan yang lebih penting. Bahkan, masalah ini bukan sahaja berlaku untuk watak Ruth tetapi juga watak Leila Taylor, yang bukanlah watak besar walaupun di dalam komik tetapi di dalam filem ini wataknya terasa sangat campur aduk, dan tidak langsung berkesan di mana-mana adegan.
Mengikut keadaan, saya tidak meletakkan pemberat yang lebih terhadap masalah kedua-dua watak ini, dan jika itu sahaja masalah untuk filem ini saya boleh katakan yang ia boleh diletak di tepi ataupun dipejamkan mata sahaja. Namun, masalah filem ini lebih besar daripada itu, watak Sam Wilson dan juga watak Thaddeus Ross yang seperti diperlihatkan di dalam treler menjadi Red Hulk juga tidak disampaikan dengan berkesan. Saya boleh katakan watak Sam Wilson terasa di merata tempat tanpa satu arah yang kukuh, watak Ross lebih baik tetapi masih kurang menarik. Ini mungkin kerana pembawaan pertama kali di dalam filem kendiri tetapi Sam Wilson sebagai Captain America tidak membawa perasaan yang sama, seperti yang kita sering dapat daripada watak Steve Rogers. Tidak membawa perasaan yang sama tidak mengapa, tetapi Sam Wilson tidak langsung membawa apa-apa perasaan.

Tidak cukup dengan itu, satu masalah yang sering berulang di dalam filem-filem MCU kecuali Thanos, adalah pengenalan watak antagonis yang sangat lemah. Di dalam filem ini terdapat dua, atau tiga jika kita mengambil kira Thaddeus Ross tetapi wataknya lebih rumit daripada ‘penjahat klasik’. Sebaliknya dua watak yang kita boleh katakan jahat ialah Sidewinder yang di bawa oleh Giancarlo Esposito dan juga Samuel Sterns lakonan Tim Blake Nelson. Sidewinder mengetuai Serpent tetapi di dalam filem ini lebih kepada tentera upahan, dan penglibatannya sangat terhad. Marvel mungkin mempunyai perancangan untuk watak ini di filem atau siri yang lain, tetapi di dalam filem ini, mendapatkan Giancarlo Esposito untuk membawa watak ini adalah satu peluang yang sangat dirugikan kerana penglibatannya tersangat minimal.
Samuel Sterns mempunyai penglibatan yang lebih, tetapi wataknya terasa sangat generik dan kelihatan menarik semasa melakukan perancangan secara bersembunyi akan tetapi selepas didedahkan wataknya menjadi membosankan dan tidak membantu untuk menyampaikan penceritaan ataupun memberikan motivasi yang menarik di dalam filem ini. Seperti Sidewinder, wataknya mungkin akan dikembangkan lagi di masa hadapan tetapi di dalam filem ini tidak sangat memberikan impak. Manakala Ross yang juga kemudiannya menjadi Red Hulk memberikan perwatakan yang lebih kompleks, Harrison Ford juga membawa watak ini dengan baik tetapi masih gagal terutama kerana penceritaan.

Bercakap mengenai penceritaan, ia merupakan masalah yang berikutnya dan mungkin masalah utama yang memberi kesan kepada bahagian-bahagian lain. Penceritaan di dalam filem ini ‘akhirnya’ membawa semula kejadian di dalam filem Eternals iaitu kesan peninggalan Tiamut yang mengandungi bahan baharu iaitu Adamantium yang dikatakan mempunyai ketahanan jauh lebih tinggi berbanding Vibranium. Dengan ‘bangkai’ Tiamut berada di perairan beberapa negara, ia telah menjadi rebutan dunia. Di dalam filem ini, Thaddeus Ross sebagai Presiden Amerika Syarikat ingin mencapai persetujuan dengan Jepun, India dan Perancis di dalam pengagihan Adamantium ini (saya tidak pasti mengapa tiga negara ini).
Perjanjian tersebut di dalam bahaya apabila ada rancangan untuk membunuh Thaddeus Ross yang membuatkan negara lain takut untuk terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat. Pada awalnya ini lah yang menjadi fokus, bersama dengan beberapa bahagian filem, tetapi selepas itu penceritaan lebih memfokuskan kepada Sam Wilson cuba untuk mencari siapa yang bertanggungjawab cubaan membunuh tersebut terutama ia juga melibatkan Isaiah Bradley lakonan Carl Lumbly yang diperkenalkan di dalam siri The Falcon and the Winter Soldier dan mentor kepada Sam Wilson. Kepelbagaian fokus ini, walaupun pada asasnya berkait , tidak membantu untuk menjadikan penceritaan yang menarik untuk diikuti. Setiap bahagian filem terasa bersaing untuk perhatian sesama sendiri berbanding menguatkan satu penceritaan.

Dua perkara positif yang saya boleh katakan adalah adegan aksi yang cool untuk dilihat walaupun saya tidak menyukai bagaimana ia disunting, ada masa terasa seperti tiada continuity yang membuatkan ia terasa sedikit janggal, contoh ada satu adegan di mana Captain America dan juga Falcon menyiasat satu tempat rahsia, tetapi tanpa sebab yang jelas kedua-dua mereka di memakai kostum. Namun, secara keseluruhannya ia masih membawa pertempuran yang menarik terutama dengan pelbagai gajet yang digunakan oleh Sam Wilson. Seterusnya adalah Joaquin Torres lakonan Danny Ramirez yang menggantikan tempat Sam Wilson sebagai Falcon, bagi saya dia satu-satu watak yang terasa segar dan sering membawa keriangan di dalam adegan walaupun penglibatannya juga terhad. Dua perkara positif ini serba sedikit menjadikan filem ini sedikit watchable tetapi secara keseluruhannya ia bukanlah satu filem yang baik secara kendiri tambahan lagi satu filem yang sepatutnya menjadi permulaan untuk MCU bagi tahun ini. Filem ini mempunyai satu adegan post-credit yang tidaklah menarik tetapi menggambarkan penceritaan seterusnya untuk MCU.
Tayangan awal untuk ulasan ini disediakan oleh Disney. Captain America: Brave New World ditayangkan bermula 13 Februari 2025.