Pengarang manga terkenal, Sankaku Head, baru-baru ini mendedahkan satu kisah tragis yang berlaku di sebalik tabir pembikinan siri popular beliau, Himouto! Umaru-chan. Menerusi satu video yang dimuat naik di saluran YouTube peribadinya, beliau berkongsi tentang pemergian adik perempuannya yang merupakan inspirasi utama kepada watak Umaru.
Sankaku Head menjelaskan bahawa watak Umaru Doma merupakan inspirasi daripada adik perempuannya yang dua tahun lebih muda daripadanya. Sifat dwi-personaliti Umaru, yang kelihatan cantik dan sopan di luar tetapi santai dan malas di rumah adalah cerminan realiti hubungan beliau dengan adiknya, walaupun telah diolah secara komedi untuk manga tersebut.
Berita duka tersebut bermula ketika siri manga itu berada di antara penerbitan jilid ke-6 dan ke-7, iaitu sewaktu siri animenya sedang hangat ditayangkan. Adik beliau telah dimasukkan ke hospital selama kira-kira 10 bulan akibat penyakit yang sukar diubati sebelum meninggal dunia. Situasi ini meletakkan Sankaku Head dalam keadaan yang amat sukar dari segi emosi kerana terpaksa meneruskan lukisan manga bergenre komedi ketika sedang berhadapan dengan kesedihan yang melampau, sehinggakan beliau sendiri mempersoalkan, “Bagaimana saya hendak melukis manga lawak dalam keadaan begini? Hati saya sangat sedih,” semasa tempoh sukar tersebut.
Dalam pendedahan yang menyentuh hati, Sankaku Head turut memberitahu bahawa terdapat satu dedikasi khas buat mendiang adiknya yang diletakkan secara halus dalam karya itu. Pada kulit hadapan manga Himouto! Umaru-chan jilid ke-10, watak Umaru dilihat memakai sehelai baju kemeja yang sebenarnya adalah milik mendiang adiknya, sebagai satu bentuk penghormatan dan kenangan abadi.
Beliau memutuskan untuk berkongsi kisah ini sekarang kerana mahu peminat mengetahui realiti sebenar di sebalik karya tersebut dan berharap agar peminat dapat mengingati adiknya melalui watak Umaru-chan.


