Apple Arcade terus memperluaskan katalog perkhidmatan langganan permainan mereka dengan pengumuman empat judul baharu yang bakal tiba pada bulan hadapan. Bermula 8 Januari 2025, pelanggan boleh menjangkakan kehadiran permainan yang memfokuskan kepada pengembaraan santai, simulasi sukan, dan pengurusan masa.

Antara judul utama yang bakal menjadi tumpuan ialah Cozy Caravan. Permainan pengembaraan solo ini menggabungkan elemen crafting, perdagangan, dan eksplorasi dalam dunia yang tenang dan indah. Pemain akan mengembara bersama karavan mereka merentasi landskap yang memukau, sambil membantu komuniti setempat, bertemu watak-watak unik, dan membina hubungan yang bermakna sepanjang perjalanan.

Selain itu, Sago Mini Jinja’s Garden turut diperkenalkan sebagai sebuah pengembaraan dunia terbuka 3D yang baharu. Dibangunkan oleh pembangun yang pernah memenangi anugerah, Sago Mini, permainan ini direka untuk memberikan pengalaman yang penuh kejutan dan keseronokan, khususnya bagi pemain cilik.

Melengkapkan senarai permainan bagi bulan Januari adalah dua judul popular dari App Store yang kini hadir dalam versi Arcade (tanpa iklan atau pembelian dalam aplikasi):

  • True Skate+: Sebuah simulator papan selaju yang realistik
  • Potion Punch 2+: Permainan pengurusan masa yang pantas dengan tema magis, di mana pemain perlu menguruskan kedai ramuan

Sementara menantikan ketibaan permainan baharu ini, Apple Arcade turut membawakan kemas kini bagi judul popular sedia ada. Pada 16 Disember ini, permainan Sneaky Sasquatch akan menerima kemas kini Harvest to Harbour.

Kemas kini ini mengembangkan lagi ciri perladangan permainan tersebut dengan membolehkan pemain menanam dan menuai cendawan. Ia turut memperkenalkan “Crop Market” yang dinamik, di mana pemain perlu memantau harga pasaran untuk menjual hasil tanaman pada harga puncak demi memaksimumkan keuntungan.

Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM29.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM34.90 untuk pelan individu, RM44.90 untuk pelan keluarga, dan RM84.90 untuk Premier yang turut menyertakan Apple Fitness+.

Leave a Reply