Beberapa hari lalu, ia telah dilaporkan bahawa Amazon akan membuang seramai 30 ribu pekerja korporat mereka untuk menyeragamkan perniagaan mereka. Potongan pekerjaan ini merangkumi pelbagai sektor perniagaan syarikat tersebut, dan nampaknya termasuklah pembangunan permainan.

Amazon Games, pembangun permainan MMORPG New World baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan dan mengatakan bahawa selepas kandungan yang diperkenalkan pada musim kesepuluh permainan ini, mereka akan menghentikan pembangunan kandungan baru untuk permainan tersebut.
Ini juga tidak bermakna bahawa perkhidmatan mesin pelayan New World akan ditutup. Permainan tersebut akan kekal beroperasi sepanjang tahun 2026, membolehkan pengguna untuk menikmati kandungan permainan yang telahpun siap dibangunkan setakat ini.
Dengan pengumuman ini, Amazon Games turut mengatakan bahawa kandungan tambahan Rise of the Angry Earth dan Nighthaven yang baru dilancarkan secara percuma kepada semua pemain. Malah, mereka turut mengatakan bahawa permainan ini masih boleh dimuat-turun dan dimainkan oleh semua melalui platform PC, Xbox dan juga Sony PlayStation 5 melalui langganan PS Plus Extra dan Premium.


