Agak mustahil untuk berlaku, tetapi saya boleh katakan yang filem One Battle After Another bermula secara terus dengan klimaks, dan ia terus berkembang daripada itu, cabaran semakin membesar, permasalahan semakin bercelaru, keadaan semakin tegang, dan ia berterusan sehinggalah filem ini tamat. Secara jujur saya boleh katakan yang saya tidak menjangkakan arah penceritaan yang berlaku di dalam filem ini berbanding apa yang saya boleh jangkakan selepas menonton treler untuknya. Ia bukan perkara yang tidak baik, tetapi memberi satu perkara yang mengejutkan dan menjadikan sesi tontonan penuh mister dan jangkaan apa yang akan berlaku seterusnya.

Secara umumnya, filem ini adalah mengenai sekumpulan pemberontak ataupun pengganas haluan kiri yang dipanggil sebagai French 75. Mereka sering melakukan serangan terhadap kem tahanan imigresen, merompak organisasi yang dianggap korup, dan salah seorang daripada mereka ialah Perfidia Beverly Hills lakonan Teyana Taylor yang memberontak bukan sahaja menentang kerajaan ataupun orang luar tetapi juga memberontak dengan diri sendiri dan sentiasa meletakkan dirinya dihadapan berbanding orang ataupun perkara lain.

Bob Ferguson lakonan Leonardo DiCaprio merupakan kekasih kepada Perfidia, dan juga salah seorang daripada French 75, walaupun mempunyai kemahiran di dalam membuat bom, akan tetapi dia sekadar mengikut sahaja dan tidak sangat berminat dengan penentangan ataupun revolusi yang dilakukan oleh kumpulan ini. Keadaan berubah apabila Perfidia melahirkan anak perempuan, yang membuatkan Bob lebih memfokuskan menjaga anak dan Perfidia terasa dikongkong tidak sangat mengambil kisah mengenai anak mereka dan terus menjadi pejuang, sehinggalah dia ditangkap.

Selepas Perfidia ditangkap, dia telah bersetuju untuk berkongsi maklumat mengenai French 75, dan yang mengetuai pemburuan ini adalah Steven J. Lockjaw lakonan Sean Penn, satu persatu anggota kumpulan tersebut ditangkap atau dibunuh, yang memaksa Bob untuk membawa anaknya Willa melarikan diri dan menukar identitinya. 16 tahun kemudian, Willa sudah remaja dan Bob lebih lama meluangkan harinya dengan khayal tetapi memaksa untuk dia kembali menjadi ‘pejuang’ apabila Steven Lockjaw menjadinya dia dan Willa sebagai sasaran.

Saya katakan secara umum, kerana premis yang besar adalah apa yang saya ceritakan di atas, tetapi saya tidak akan ceritakan perkara-perkara lain, cabang plot lain yang berlaku kerana bagi saya mengalaminya tanpa mengetahui ia akan berlaku merupakan salah satu yang membuatkan filem ini sangat menarik. Daripada awal lagi saya boleh jamin yang penonton akan mempersoalkan, kenapa sesuatu adegan itu dilakukan, dan bagaimana ia akan menjadi penting kemudian, mungkin anda boleh jangkakan tetapi ia tidak akan mengganggu pengalaman kerana bagaimana ia terjadi masih menarik.

Tiga pelakon yang saya nyatakan sebelum ini, bersama dengan Chase Infiniti yang membawa watak Willa membawa watak masing-masing dengan sangat baik. Watak Bob boleh dikatakan satu watak mudah untuk Leonardo dan dia membawanya dengan sangat berkesan. Watak seterusnya yang saya boleh katakan mencuri tumpuan adalah Sean Penn yang membawa wataknya dengan sangat berkesan dan membantu di dalam memastikan penceritaan utama dapat disampaikan dengan jayanya. Selain daripada mereka, Benicio del Toro juga membawa wataknya iaitu Sergio yang saya boleh katakan sebagai guru karate untuk Willa dan kenalan Bob.

Saya ada katakan filem ini bagaikan bermula dengan klimaks dan tidak pernah berhenti, juga dibantu oleh cara filem ini disampaikan yang memberi perasaan cemas, dan setiap adegan ada sahaja perkara yang berlaku. Ini ditambah lagi dengan pemilihan muzik yang ada masa tidak bersesuaian dengan adegan yang dipamerkan tetapi sangat bersesuaian dengan perasaan ataupun ‘warna’ untuk filem ini yang bagi saya membantu di dalam memastikan filem ini terasa konsisten.

Jika saya ingin berkongsi rungutan untuk filem ini, saya boleh katakan yang watak Perfidia bermula dengan baik tetapi terasa kurang apabila memasuki bahagian seterusnya, ia masuk akal mengikut jalan cerita tetapi saya merasakan ia satu watak yang terasa tidak memenuhi potensinya, sesetengah bahagian penceritaan juga ada terasa elemen perisai plot, tetapi ia tidak terlalu jelas dan tidak sangat mengganggu pengalaman keseluruhan penceritaan.

Akhir kata, One Battle After Another seperti judulnya membawa pertempuran plot selepas satu, satu dan tanpa henti sehingga filem ini tamat. Setiap adegan terasa penting, setiap plot dilakukan dengan berkesan, setiap lakonan disampaikan dengan sempurna dan setiap penyampaian dilakukan dengan kemas dan konsisten sepanjang filem ini untuk memberikan pengalaman yang memuaskan. Ada watak dan beberapa bahagian yang terasa lemah, tetapi ia terlalu kecil dan boleh dimaafkan dengan mudah untuk menjadikan filem ini berpotensi menjadi filem terbaik tahun ini.

One Battle After Another
Berpotensi menjadi filem terbaik tahun ini, One Battle After Another seperti judulnya membawa satu kisah yang rancak dengan plot terus menerus berkembang tanpa henti. Di tambah dengan lakonan dan penyampaian yang berkualiti, ia benar-benar satu filem yang istimewa.
Positif
Penceritaan rancak dan tanpa henti
Lakonan berkualiti
Penyampaian kosistent
Negatif
Ada watak kurang dikembangkan
9

Leave a Reply

Final Score