Sekumpulan orang jahat, yang terdiri daripada binatang berbeza iaitu Mr. Wolf, Mr. Snake, Ms. Tarantula, Mr. Shark, dan Mr. Piranha kembali untuk filem kedua, dan selepas kejadian di dalam filem pertama sekumpulan orang jahat ini mengambil keputusan untuk meninggalkan karier mereka sebagai pencuri dan ingin mendapatkan pekerjaan yang sah. Di awal filem kedua ini, mereka dapati yang peralihan untuk menjadi orang baik bukan semudah yang disangkakan. Ramai yang masih lagi menganggap mereka merupakan pencuri dan tidak boleh dipercayai.

Diane Foxington ataupun The Crimson Paw yang masih lagi seorang gabenor satu-satunya berharap yang Mr. Wolf dapat terus berusaha untuk menjadi orang yang baik. Keadaan menjadi semakin sukar apabila telah berlaku beberapa kes rompakan dan orang ramai menuduh ia dilakukan oleh The Bad Guys. Bertekad untuk membersihkan nama mereka, dan mengharap ia dapat membantu di dalam usaha mereka untuk menjadi baik, mereka telah membantu pihak polis untuk menangkap penjahat baharu ini, tetapi tanpa mereka sedari telah diperangkap oleh penjahat tersebut iaitu Bad Girls yang terdiri daripada Kitty Kat, Pigtail Petrova, dan Doom.

Bad Girls ini telah memerangkap Bad Guys untuk meminta mereka melakukan satu rompakan, iaitu mencuri kapal angkasa. Pada awalnya, Mr. Wolf tidak bersetuju tetapi selepas diugut, video mengenai Diane Foxington merupakan The Crimson Paw, dia terpaksa bersetuju tetapi pada masa yang sama memasang perangkapnya sendiri. Filem ini kemudian memfokuskan kepada usaha mereka untuk mencuri kapal angkasa tersebut tetapi pada masa yang sama, mereka juga cuba mencari sebab sebenar Bad Girls inginkan kapal angkasa dan ia berkait dengan satu rompakan yang terbesar di dalam sejarah.

Bagi yang sudah tonton filem pertama, filem ini akan membawa kembali dinamik yang baik di antara watak-watak Bad Guys, setiap daripada mereka mempunyai tarikan tersendiri. Jika anda tidak pernah menonton filem pertama, tiada masalah untuk terus menonton filem ini, dan saya juga merasakan yang anda dengan segera akan suka dengan watak-watak ini, kerana ia dilakukan dengan baik dan karenah mereka sentiasa mencuit hati. Pengenalan watak baharu, terutama Bad Girls juga merupakan satu penambahan yang baik dengan setiap watak mempunyai peranan mereka yang tersendiri untuk memberi lapisan baharu di dalam penceritaan.

Bahagian heist ataupun rompakan dilakukan dengan menarik, sentiasa ada rancangan di dalam rancangan yang membuatkan ia sedikit sukar untuk dijangka walaupun filem ini gemar untuk menceritakan segalanya, tetapi ia masih menarik. Ini ditambah lagi dengan animasi yang baik untuk aksi dan juga rekaan watak serta persekitaran. Setiap babak dilakukan dengan sangat baik, memperlihatkan gaya aksi yang mantap dan cool, dengan setiap watak mempunyai gerakan mereka tersendiri Mr. Snake yang mempunyai badan yang sasa sentiasa menggunakan kekuatannya. Seperkara yang saya boleh katakan kurang mengenai animasi adalah warna, saya merasakan filem ini kelihatan malap, dan ia mungkin akan menjadi lebih menarik jika menggunakan warna yang lebih terang.

Akhir kata, The Bad Guys 2 membawa satu kisah yang baik walaupun ringkas dan mudah untuk dijangka tetapi kerana perwatakan Bad Guys sendiri yang menarik, ditambah lagi hadirnya Bad Girls menjadikan ia kekal menarik ditambah lagi dengan animasi yang berkualiti dengan adegan yang rancak tetapi sedikit kecewa dengan kegunaan warna yang kelihatan sedikit malap. Satu filem susulan yang tidak membawa sesuatu yang baharu tetapi mencukupi untuk membawa kisah heist yang menyeronokkan untuk tontonan umum.

The Bad Guys 2
Membawa satu penceritaan heist yang baik, walaupun mudah dijangka dan tidak membawa sesuatu yang baharu, perwatakan menarik Bad Guys dan yang baharu Bad Girls membantu di dalam menjadikan penyampaian menarik dan penuh aksi.
Positif
Watak-watak menarik
Penceritaan ringkas tetapi menarik
Negatif
Warna animasi yang malap
8

Leave a Reply

Final Score