Bring Her Back filem seram psikologi yang diarahkan oleh Danny Philippou dan Michael Philippou sangat cukup lengkap di dalam membawa bahagian seram, bahagian psikologi atau gory dan pada masa yang sama membawa satu kisah serta premis penceritaan yang cukup baik untuk memberi lapisan tambahan kepada filem ini dan tidak sekadar bergantung harap kepada elemen kejutan sahaja.

Filem ini adalah mengenai dua adik beradik tiri iaitu Andy yang berumur 17 tahun dan Piper yang lebih muda dan mempunyai masalah penglihatan. Selepas bapa mereka meninggal dunia, mereka telah telah dihantar untuk bersama dengan keluarga angkat baharu buat sementara waktu sehingga Andy cukup umur untuk menjadi penjaga.
Keluarga angkat mereka terdiri daripada Laura dan anak lelakinya Oliver yang membisu selepas kematian seorang lagi anak Laura iaitu Cathy yang juga mempunyai masalah penglihatan. Daripada awal lagi, Laura kelihatan aneh, ditambah lagi dengan Oliver yang sering menyendiri dan sentiasa dikurung di dalam bilik, namun oleh kerana mereka tiada pilihan Andy dan Piper terus tinggal bersama dengan Laura.

Laura pada awalnya menjaga mereka dengan baik, tetapi kemudian mula melakukan perkara yang aneh, dia juga mencuba sedaya upaya untuk memperlihatkan yang Andy tidak layak untuk menjadi penjaga bagi Piper. Walaupun dia melayan Piper dengan baik, akan tetapi juga kelihatan yang Laura mempunyai satu perancangan yang misteri dan sinis.
Saya boleh katakan secara terus jika anda tidak menggemari ataupun tidak selesa dengan perkara yang tidak baik berlaku kepada kanak-kanak seperti penderaan, filem ini akan membuatkan anda tidak selesa. Selain itu, filem ini juga menyampaikan misteri dengan baik, yang membuatkan saya tertanya-tanya apa sebenar yang ingin dilakukan oleh Laura.

Seperti saya nyatakan di atas, filem ini tidak bergantung kepada kejutan, saya boleh katakan hanya terdapat beberapa sahaja jumpscare dan ia juga tidak dilakukan secara ‘murahan’. Sebaliknya, filem ini lebih memberi perasaan tidak selesa dan juga perasaan misteri kepada saya sebagai penonton yang saya boleh hargai. Ini ditambah lagi premis penceritaan yang digunakan adalah menarik.
Begitu juga dengan bahagian gory, ia ada dan lebih kerap berbanding jumpscare ataupun perkara yang menyeramkan, tetapi pada masa yang sama bukanlah mendominasi filem ini yang membuatkan sekadar darah sahaja, tetapi di selitkan dengan baik di dalam penceritaan untuk menambah lagi bahagian kejutan bagi filem ini dan juga membuatkan saya sentiasa tidak berasa selesa.

Kekuatan utama filem ini adalah premis penceritaan terutama di dalam penyampaian misteri. Ia dilakukan dengan campuran di antara tingkah laku watak, dan juga beberapa imbas semula yang perlahan-perlahan mendedahkan apa yang sedang berlaku. Saya tidak ingin mendedahkan premis penceritaan tetapi saya boleh katakan yang filem ini berkesan memperlihatkan kasih sayang yang seindahnya dan segerunnya.
Segala bahagian seram, gory ataupun misteri ini juga disampaikan dengan sangat berkesan oleh semua pelakon yang terlibat, terutama empat watak utama iaitu Andy lakonan Billy Barratt, Piper lakonan Sora Wong, Laura lakonan Sally Hawkins, dan Oliver lakonan Jonah Wren Phillips. Masing-masing membawa watak mereka dengan pelbagai lapisan berbeza, membantu memberikan dinamik watak yang sangat baik.

Akhir kata, Bring Her Back merupakan satu filem seram dan gory yang baik tetapi kedua-dua bahagian ini dilakukan secara mencukupi dan tidak terasa melebih-lebih, sebaliknya filem ini diberi ruang untuk berkembang penceritaanya, ditambah dengan premis dan lakonan yang sangat baik, ia benar-benar memberikan pengalaman yang memuaskan.


