Pada tahun 2022, Dan Trachtenberg telah dipertanggungjawabkan untuk mengarah filem baharu berdasarkan dunia Predator yang sudah berusia lebih 35 tahun. Melalui filem Prey, beliau membawa sesuatu yang tidak tersedia untuk filem-filem Predator sebelum ini iaitu perkembangan watak ataupun penceritaan yang memfokuskan kepada kisah manusia. Ia satu pembawaan yang segar dan membuatkan Prey boleh dikatakan antara filem terbaik di dalam francais ini.

Dan Trachtenberg juga akan hadir dengan filem seterusnya di dalam francais ini iaitu Predator: Badlands yang akan ditayangkan pada 7 November tahun ini, tetapi sebelum itu beliau hadir terlebih dahulu dengan filem animasi Predator: Killer of Killers yang sudah disiarkan di Disney+ Hotstar yang bagi saya meneruskan perkara positif mengenai arahannya. Ini adalah kerana di dalam filem ini, watak manusia dan kisah mengenainya menjadi fokus tetapi pada masa yang sama keganasan Predator masih diperlihatkan dengan baik. Ia juga satu filem yang membuka kisah menarik untuk penceritaan seterusnya bagi francais ini.
Predator: Killer of Killers memfokuskan kepada tiga watak daripada tiga era berbeza, iaitu Ursa seorang Viking pada tahun 841, Kenji dan Kiyoshi iaitu dua orang samurai pada tahun 1609 di Jepun dan Torres iaitu rakyat Amerika Syarikat yang terlibat dengan perang dunia kedua pada tahun 1942. Tiga-tiga watak ini mempunyai satu persamaan, iaitu mereka telah diperhatikan oleh satu Predator dan dianggap sebagai layak untuk menjadi pencabar. Bersama dengan tiga watak ini, Predator juga berbeza-beza dengan setiap Predator mempunyai gaya pertempuran yang tersendiri mengikut kesesuaian zaman tersebut. Melihat kepelbagaian Predator ini sudah semestinya satu perkara yang menarik untuk pengikut francais ini.

Menjadikan penceritaan lebih menarik, setiap watak-watak ini juga mempunyai penceritaan tersendiri yang bermula dan berakhir tanpa mempunyai kaitan yang terus dengan kehadiran Predator. Bagi saya perkara ini menjadikan kisah mereka lebih menarik dan memberi nilai tambah kepada filem ini dan tidak sekadar berharap kepada keganasan sesi pertempuran dengan Predator semata-mata, penceritaan ini juga mempunyai satu tema yang jelas dan menarik. Melihat penceritaan ini melalui tiga era yang berbeza juga menjadikannya lebih berkesan kerana boleh dikatakan kisah manusia melangkaui era dan zaman.
Walaupun filem ini memfokuskan kepada kisah tiga (atau empat) manusia ini, akan tetapi Predator masih dilakukan dengan baik. Seperti saya nyatakan sebelum ini, terdapat tiga predator dengan setiap daripadanya mempunyai rekaan berlainan dan gaya pertempuran tersendiri. Setiap pertempuran dilakukan dengan sangat menarik dan masih ganas. Animasi juga dilakukan dengan berkesan, dengan setiap aksi diperlihatkan dengan lancar, dengan ini boleh dikatakan filem animasi pertama bagi francais ini, saya berharap yang ia diperbanyakkan lagi kerana ia benar-benar memberi pengalaman yang berbeza.

Seperti saya nyatakan yang filem ini juga membuka penceritaan yang menarik untuk diteruskan bagi francais ini dan ia berkait dengan bagaimana tiga watak ini yang merupakan daripada era berbeza, ditempatkan di tempat yang sama. Bagi saya ia dilakukan dengan menarik dan memberi satu kisah baharu berkait dengan Predator dan bagaimana mereka melakukan pemburuan. Saya tidak pasti jika perkara ini akan diteruskan dalam kandungan-kandungan seterusnya, tetapi ia adalah sangat menarik dan akan rasa ter-bazir jika tidak dilakukan. Saya juga boleh katakan yang ia bukanlah satu idea yang baharu dan sudah dilakukan sebelum ini, tetapi masih berharap ia dikembangkan lagi.
Predator Killer of Killers sudah boleh ditonton di Disney+ Hotstar


