Keluang Man merupakan satu watak yang akan membawa pelbagai nostalgia untuk yang membesar menonton siri animasi adiwira rekaan Malaysia ini. Oleh itu, nostalgia memainkan satu peranan penting dan saya boleh katkaan Anwari Ashraf sebagai pengarah menyedari perkara tersebut dan menggunakannya dengan sangat berkesan. Setiap jenaka ataupun easter egg yang dipamerkan, adalah berkait dengan nostalgia dan saya tidak kering gusi dibuatnya. Namun, jika anda tidak membesar di zaman ini, jenaka-jenaka ini mungkin tidak akan difahami dan anda akan sekadar mendengar gelak-tawa orang-orang lain di pawagam.
Satu perkara yang nostalgia tidak digunakan adalah penceritaan, ini adalah kerana kisah Borhan ataupun Keluang Man adalah berbeza jika ingin dibandingkan dengan siri animasi. Borhan di dalam siri animasi merupakan pelajar silat yang bermusuhan dengan Shamsir. Manakala di dalam filem ini, Borhan lakonan Nas-T dan Shamsir lakonan Remy Ishak merupakan dua anak kecil yang tidak mempunyai ibu bapa dan dibesarkan oleh Ahmad lakonan Rosyam Nor.


Setelah mereka berdua dewasa, mereka menyertai Ahmad untuk menjadi ejen rahsia kerajaan akan tetapi sesuatu berlaku di antara mereka bertiga yang membuatkan Borhan dimasukkan ke Hospital Bahagia Tumpoi, Shamsir terlibat dengan kumpulan jenayah dan Ahmad mati terbunuh. Borhan juga hilang ingatan mengenai apa yang berlaku, akan tetapi apa yang dia tahu, Shamsir yang menembaknya. Suatu malam, dia telah nampak Shamsir sedang berada di hospital, dan di dalam usahanya untuk mengejar Shamsir bermulanya Borhan menjadi vigilante bertopeng.
Perubahan cerita ini mungkin mengecewakan untuk peminat-peminat Keluang Man, akan tetapi bagi saya kerana penceritaan yang disampaikan berdasarkan permulaan baharu ini adalah sangat baik, saya tidak mempunyai masalah dengannya. Ia juga memberi ruang kepada sesuatu yang berlainan untuk berlaku, dan terus memberi kejutan walaupun yang sudah mengikuti kisah Keluang Man dari dahulu lagi. Ini ditambah lagi dengan dinamik lakonan yang sangat baik di antara tiga watak ini, dan benar-benar membawa penceritaan mengenai kesetiaan dan pengkhianatan.


Selain kisah tiga watak tersebut, beberapa perubahan lain yang ada adalah pengenalan Doktor Malini lakonan Shweta Sekhon yang memainkan peranan penting di dalam perkembangan watak Borhan, saya boleh katakan watak Doktor Malini diselitkan dengan baik di dalam penceritaan, tambahan lagi dengan dia merupakan adik kepada Inspektor Sahab lakonan Anwaar Beg Moghal yang disamping cuba menjejak Shamsir, dia juga tidak menyukai Keluang Man yang suka bertindak sendiri. Perkembangan watak Doktor Malini, Inspektor Sahab dan juga perhubungan mereka dengan Borhan serta Keluang Man juga dilakukan dengan menarik, memberi lapisan baharu untuk penceritaan.
Seperti saya nyatakan di atas, filem ini menggunakan nostalgia daripada zaman 90-an dan awal 2000 untuk dijadikan sebagai punchline di dalam jenaka dan ia dilakukan dengan berkesan kerana agak sukar untuk jangkakan apa punchline seterusnya yang akan dilakukan. Saya boleh katakan jika filem Deadpool & Wolverine menggunakan 20th Century Fox sebagai bahan, filem ini menggunakan nostalgia daripada zaman tersebut. Walaupun anda mungkin tidak memahami beberapa rujukan yang dilakukan, filem ini masih berkesan di dalam penyampaian jenakanya kerana setiapnya dibina dengan berkesan. Saya juga menyukai bagiamana watak Halim Othman disertakan di dalam filem ini, ia memberi konsep yang menarik mengenai Borhan.


Bagi pertempuran, saya boleh katakan ia dilakukan dengan mencukupi, pertarungan jarak dekat kelihatan baik akan tetapi filem ini lebih memfokuskan kepada adegan aksi yang lebih besar seperti letupan, penggunaan senjata, oleh itu ia tampak gempak akan tetapi saya tidak berapa menyukainya, namun faham untuk memperlihatkan karena kumpulan penjahat ini. Tambahan itu, apabila pertempuran jarak dekat ini dilakukan, ia dilakukan dengan memuaskan, terutama apabila Borhan bertempur dengan elemen jenaka yang membuatkan saya ketawa.
Satu sebab saya tidak terlalu menyukai mengenai letupan-letupan ini, CGI di dalam filem ini bukanlah terbaik, saya tidak mengharapkan CGI setaraf Hollywood akan tetapi saya merasakan sesuatu yang lebih baik boleh dilakukan. Tambahan itu, saya juga boleh katakan ada banyak bahagian yang tidak perlukan CGI, tetapi digunakan CGI yang membuatkan ia nampak aneh. Satu contoh yang saya boleh katakan adalah penggunaan kucing, saya tidak pasti mengapa kucing perlu menggunakan CGI berbanding sekadar mengambil kucing yang betul. Mungkin ada sebabnya, tetapi oleh kerana CGI bukan yang terbaik, adalah lebih baik jika kurangkan penggunaan CGI sebanyak yang mungkin.


Akhir kata, inilah filem adiwira terbaik pernah dihasilkan di Malaysia, dan Keluang Man sebagai adiwira ‘OG’ kembali untuk mengambil takhta sebagai adiwira terbaik dengan penceritaan yang menarik, dipenuhi dengan liku-liku plot, jenaka yang menggunakan nostalgia sebagai punchline, dan adegan aksi yang memuaskan. Ia memberikan kepuasan untuk menonton tidak kira peminat Keluang Man ataupun yang baru sahaja mengenali adiwira berwarna burgundy ini. Penggunaan CGI mungkin boleh ditambah baik lagi, dan ada bahagian yang sepatutnya tidak perlu menggunakannya boleh menjadikan ia kelihatan lebih baik. Jika ini adalah permulaan untuk Keluang Man Cinematic Universe, saya sangat teruja untuk melihat projek seterusnya.


