Infinix hari ini telah melancarkan secara rasmi telefon seterusnya oleh mereka iaitu Infinix GT 30 Pro, majlis pelancaran ini dianjurkan di Stadium Juara yang menjadi rumah untuk Mobile Legends Professional League (MPL) Malaysia Musim Ke-15, di mana Infinix merupakan penyedia telefon rasmi.

Infinix GT 30 Pro dilengkapi dengan skrin bersaiz 6.78-inci, resolusi 2720×1224, menggunakan panel AMOLED dan menyokong kadar segar semula sehingga 144Hz. Manakala spesifikasi dalam, ia menggunakan cip pemprosesan Dimensity 8350 Ultimate iaitu cip yang sama digunakan di Infinix Note50 Pro+ yang sudah dilancarkan sebelum ini.
Bagi bateri pula, ia menyertakan kapasiti sebesar 5,500mAh dengan pengecasan pantas 45W berwayar dan 30W secara nirwayar. Storan pula ia hadir dengan pilihan 512GB atau 256GB manakala RAM ditawarkan dengan satu pilihan iaitu 12GB.


Infinix GT 30 Pro hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Shadow Ashe, Blade White, dan Dark Flare. Di bahagian belakang mempunyai rekaan futuristik termasuk juga lampu yang telah menjadi DNA untuk telefon oleh Infinix. Ia juga menyertakan GT Trigger iaitu dua butang tambahan di bahagian atas untuk kegunaan bermain permainan mudah alih dan juga untuk mengakses bahagian lain seperti kamera.
Sebagai nilai tambah, Infinix juga mengumumkan Gaming Kit yang menyertakan MagCharge Cooler iaitu kipas penyejuk dan MagCase, kerangka khas untuk telefon ini. Semasa menggunakan dua perkakasan ini, Infinix GT 30 Pro masih boleh dicaj memberikan prestasi yang baik untuk tempoh permainan yang lama.

Infinix GT 30 Pro ditawarkan dengan harga RM1,299 untuk storan 256GB dan RM1,499 untuk storan 512GB, setiap pembelian awal akan mendapat Gaming Kit yang bernilai RM139 secara percuma.


