Universal Pictures telah mengumumkan secara rasmi yang filem seterusnya oleh pengarah Christopher Nolan ialah The Odyssey iaitu adaptasi kepada Odyssey oleh Homer. Mereka juga mengumumkan yang filem ini akan ditayangkan pada 17 Julai 2026.
Odyssey merupakan satu penceritaan yang memfokuskan kepada pahlawan Yunani, Odysseus yang juga raja Ithaca dalam perjalanannya untuk pulang ke rumah selepas peperangan Trojan. Perjalanan tersebut mengambil masa 10 tahun dan pelbagai cabaran perlu dihadapi.
Christopher Nolan juga dikatakan akan menggunakan teknologi IMAX yang baharu bagi melakukan rakaman untuk filem ini.
Walaupun tiada pengumuman rasmi oleh Universal, akan tetapi sebelum ini sudah dilaporkan yang filem ini akan melibatkan senarai pelakon seperti Matt Damon, Tom Holland, Zendaya, Robert Pattinson, dan Charlize Theron.


