Disney+ Hotstar pada bulan April lepas telah menyertakan langganan secara bulanan, selain itu mereka juga membahagikan langganan kepada dua pelan iaitu Basic dan Premium.
Bagi pengguna yang melanggan melalui perkhidmatan Astro, semasa pengenalan pelan ini, mereka akan mendapat pelan Premium akan tetapi kini ia sudah ditukar kepada pakej Basic.
Perbezaan di antara pakej Basic dan Premium adalah ia hanya menyokong penstriman 1080p sahaja berbanding 4K, satu skrin secara serentak berbanding 3 dan sambungan 3 peranti pada satu masa berbanding 10 peranti.
Kami sudah menghubungi Astro, dan mereka mengatakan yang Disney+ Hotstar telah memperkenalkan pelan dan harga baharu bagi perkhidmatan mereka, dan pelanggan Astro yang mempunyai langganan Disney+ Hotstar masih dapat terus mengakses-nya melalui pelan Basic tanpa bayaran tambahan.
Bagi pelanggan Astro yang ingin menambah Disney+ Hotstar, mereka masih boleh melakukannya dengan bayaran RM54.90 setiap tiga bulan iaitu RM18.30 sebulan yang lebih rendah berbanding langganan secara terus, RM24.90.
Jika pelanggan ingin melanggan Pelan Premiun, buat masa ini ia hanya ditawarkan melalui Disney+ Hotstar secara sendiri sahaja dan memerlukan bayaran penuh iaitu RM39.90 untuk satu bulan, RM79.90 untuk tiga bulan dan RM289.90 secara tahunan.