Hoyoverse, syarikat pembangun permainan mudah-alih disebalik tajuk-tajuk seperti Genshin Impact, Honkai Star Rail dan Zenless Zone Zero baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka sedang mengadakan sebuah kolaborasi bertemakan Genshin Impact bersama-sama dengan S.E.A. Aquarium di Pulau Sentosa di Singapura yang dinamakan Teyvat SEA Exploration.
Saya kebetulan berada di negara tersebut pada hujung minggu lepas, dan telah meluangkan sedikit masa untuk ke akuarium tersebut untuk melihat sendiri kolaborasi ini. Untuk ini, anda akan perlu ke S.E.A. Aquarium yang terletak di Pulau Sentosa.
Sebelum anda ke S.E.A. Aquarium Sentosa, anda juga perlu tahu bahawa untuk tiket kolaborasi Teyvat SEA Exploration, anda hanya boleh membelinya secara atas talian melalui laman web S.E.A. Aquarium. Tiket biasa boleh dibeli secara fizikal, tetapi untuk kolaborasi ini, anda hanya boleh melakukannya secara atas talian.
Ia juga tampil dengan harga SGD$66 dan anda akan menerima buku paspot untuk setem didalam akuarium tersebut, dan satu “tiket fizikal” yang diperbuat daripada plastik akrilik yang menunjukkan rekaan unik Genshin Impact.
Cara termudah untuk anda ke sana, jika anda tidak mahu memandu ataupun menggunakan teksi/Grab ialah untuk ke pusat membeli-belah VivoCity Mall, dan ke tingkat tiga untuk menggunakan sistem monorail Sentosa Express yang berharga SGD$4. Dari sini, anda hanya perlu ke stesen Resorts World yang terletak satu stesen selepas stesen VivoCity.
Jika anda membeli tiket Teyvat SEA Exploration, anda boleh ke pondok istimewa sebelum pintu masuk S.E.A. Aquarium untuk mendapatkan paspot setem dan juga tiket fizikal istimewa sebelum memasuki kawasan akuarium. Di sini juga anda boleh membeli t-shirt dan plushie khas bertemakan Teyvat SEA Exploration.
Pengalaman melawat S.E.A. Aquarium ini adalah sama seperti biasa, tetapi untuk kolaborasi ini, Hoyoverse telah memperlihatkan lima ruang untuk pelawat menggunakan alat setem timbul yang boleh digunakan bersama-sama dengan paspot setem yang diberikan.
Setiap setem hadir dengan rekaan berdasarkan sejenis ikan yang terdapat pada akuarium tersebut, dan ia memberikan insentif kepada pelawat untuk melawat keseluruhan akuarium tersebut untuk mendapatkan setem-setem ini.
Satu isu mungkin hadir dari penggunaan alat setem timbul yang hanya boleh digunakan pada permukaan-permukaan tertentu sahaja, dan tidak semua jenis kertas boleh digunakan untuk memperlihatkan setem ini.
Di kawasan pertengahan akuarium ini terdapat lokasi membeli hadiah seperti bantal haiwan didalam Genshin Impact dan baju t-shirt dengan tema khas Teyvat SEA Expedition yang memperlihatkan watak Sigewinne. Satu perkara yang saya suka mengenai baju tersebut ialah ia mempunyai zip yang memperlihatkan teks dengan nama Teyvat Sea Exploration. Satu baju t-shirt ini boleh dibeli pada harga SGD$40.
Didalam akuarium tersebut juga terdapat satu gerai yang menjual ais krim bertemakan haiwan-haiwan Genshin Impact pada harga SGD$12 ke SGD$14 bergantung kepada perisa dan bentuk.
Bagi saya, jika ini adalah pertama kali anda ke S.E.A. Aquarium, ia cukup berbaloi untuk anda melawat akuarium ini untuk melihat sendiri pelbagai jenis fauna lautan dari pelusuk dunia bersama-sama rakan-rakan dan keluarga. Bonus juga sekiranya anda seorang peminat Genshin Impact dan mahu melihat apa yang ditawarkan di akuarium ini dari 12 September 2024 ke 28 Oktober 2024.