Fly Me to the Moon merupakan filem mengenai usaha Amerika Syarikat untuk menjadi yang pertama ke bulan, ataupun itulah jangkaan saya, akan tetapi filem ini sebenarnya menjadikan kisah ke bulan tersebut sebagai ‘latar belakang’ sahaja dengan kisah perhubungan di antara dua watak utama iaitu Kelly Jones lakonan Scarlett Johansson dan Cole Davis lakonan Channing Tatum mengambil pentas utama yang mungkin mengecewakan untuk sesetengah penonton, tetapi bagi saya tiada masalah kerana kisah mereka berdua masih menarik dan lakonan yang baik oleh kedua-dua pelakon veteran ini.

Semasa perang dingin, Amerika Syarikat dan Russia berperang untuk menjadi terbaik di dalam teknologi angkasa lepas, oleh itu The Apollo Program dilancarkan oleh NASA untuk membawa manusia ke bulan, akan tetapi selepas beberapa kegagalan dan juga peperangan Vietnam yang sedang berlaku, rakyat Amerika Syarikat mula hilang minat dengan projek tersebut dan NASA sukar untuk mendapatkan dana. Oleh itu, mereka telah melantik Kelly Jones yang mempunyai kepakaran di dalam pemasaran untuk ‘menjual’ projek tersebut dan mendapatkan dana yang diinginkan.
Cole Davis pula merupakan Pengarah Pelancaran untuk projek tersebut yang pada awalnya tidak berminat dengan bahagian politik berkait dengan projek tersebut, terutama dengan apa yang dilakukan oleh Kelly Jones akan tetapi dia mula menyedari yang ia sesuatu yang perlu dilakukan jika ingin meneruskan projek ini, dan bermula perhubungan sejuk dan panas di antara Cole Davis dan Kelly Jones. Keadaan menjadi rumit apabila kerajaan Amerika Syarikat melalui Moe Berkus lakonan Woody Harrelson ingin Kelly Jones untuk menghasilkan video lakonan yang mereka berjaya melakukan pendaratan di bulan sebagai persediaan jika projek tersebut gagal.

Oleh itu, saya boleh katakan yang filem ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu usaha Kelly Jones untuk mempromosi The Apollo Program dan mendapatkan dana, serta Cole Davis yang ingin memastikan projek tersebut berjaya walaupun selepas pelbagai kegagalan termasuk juga Apollo 1 yang mengorbankan kesemua angkasawan kerana kebakaran yang berlaku di kabin semasa sesi percubaan. Ini memainkan peranan penting di dalam perwatakan Cole Davis yang ingin projek ini berjaya bagi mengenang pengorbanan angkasawan tersebut.
Namun, seperti yang saya katakan di atas, kesemua perkara ini menjadi latar belakang sahaja dengan penceritaan masih lagi menjadikan perhubungan di antara Kelly Jones dan Cole Davis sebagai perkara utama. Lakonan yang baik oleh mereka berdua, membantu untuk menjadikan ia masih lagi satu filem yang baik dan juga menarik untuk ditonton, terutama ia disampaikan dengan elemen komedi dan tidak terlalu berat. Walaupun semasa pergaduhan berlaku ataupun perselisihan faham, ia tidak menjadi penggerak utama penceritaan sebaliknya dilakukan dengan sekejap sahaja. Ini membantu untuk menjadikan penceritaan yang lebih konsisten.

Saya masih kecewa kerana kisah mengenai usaha mereka untuk ke bulan tidak menjadi fokus utama penceritaan, ini ditambah lagi dengan penambahan elemen merakamkan pendaratan palsu dimasukkan ke dalam filem secara agak janggal yang membuatkan saya sedikit keliru dengan apa yang cuba dilakukan oleh semua yang terlibat. Filem ini masih berjaya untuk menjadikan adegan-adegan berkait dengan pendaratan di bulan dengan baik, ditambah lagi dengan mereka menghasilkan tempat projek yang boleh dipercayai seperti roket yang sedang dipasang.
Akhir kata, Fly Me to the Moon merupakan satu filem drama yang baik mengenai dua watak iaitu Kelly Jones dan Cole Davis yang mempunyai tanggungjawab yang berlainan di dalam menjayakan misi manusia ke bulan, akan tetapi dengan usaha tersebut menjadi latar belakang sahaja ia mungkin sedikit mengecewakan kepada penonton yang mengharapkan filem mengenai kejayaan Apollo 11 membawa manusia pertama ke bulan.