Ulasan A Quiet Place: Day One

A Quiet Place merupakan satu filem yang memfokuskan konsep senyap di dalam penceritaan, menonton filem ini, terutama yang pertama, memakan bertih jagung di dalam wayang juga menjadi satu perkara yang boleh mengganggu pengalaman tontonan, bagi A Quiet Place: Day One ia serba sedikit membawa perkara tersebut akan tetapi tidak secara menyeluruh sebaliknya ia terasa seperti satu filem thriller yang berlainan dengan filem-filem sebelum ini yang membuatkan saya sedikit kecewa terutama penceritaan yang disampaikan tidak cukup untuk menjadikannya menarik.

Filem ini memfokuskan kepada hari pertama makhluk asing turun ke bumi yang menjadi penjahat utama di dalam filem A Quiet Place yang sebelum ini. Sam lakonan Lupita Nyong’o menjadi penggerak utama penceritaan dengan selepas New York diserang oleh makhluk asing ini, dia terpaksa menghadapi pelbagai rintangan untuk terus hidup tetapi pada masa yang sama, dia juga ingin kembali untuk melakukan perkara yang biasa dilakukan seperti memakan piza. Sam kemudian berjumpa dengan Eric lakonan Joseph Quinn yang menemaninya di dalam perjalanan ini.

Masalah utama filem ini bagi saya adalah ia tidak menyampaikan premis penceritaan dengan baik, sepanjang saya tontonnya saya tidak pasti apa yang ingin dilakukan oleh Sam dan juga Eric, mereka sekadar melalui keadaan ini. Ia mungkin masuk akal jika perkara ini benar-benar berlaku, akan tetapi untuk satu filem yang ingin disampaikan, saya ingin sesuatu yang lebih jelas untuk membuatkan saya ingin mengambil tahu mengenai mereka. Saya juga kecewa kerana dengan filem ini menjadi prekuel ataupun permulaan, akan tetapi tidak banyak dijelaskan mengenai makhluk asing ini.

Adegan-adegan thriller, ataupun serangan makhluk asing ini masih menyeramkan dan satu-satunya perkara yang membuatkan filem ini masih baik untuk ditonton akan tetapi ia masih tidak dilakukan sebaik filem sebelum ini. Ini disebabkan filem ini berlaku pada awal permulaan serangan berlaku, oleh itu masih ramai yang tidak pasti apa yang mereka harus lakukan, perkara ini membuatkan kebanyakan serangan berlaku kerana kesilapan yang dilakukan. Ia masih perkara yang baik ataupun dijangkakan akan tetapi jika menonton filem sebelum ini, ia sedikit menjengkelkan.

Seperti yang saya nyatakan di permulaan ulasan ini, semasa filem pertama, memakan bertih jagung di dalam pawagam juga menjadi sesuatu yang menyeramkan, akan tetapi di dalam filem ini ia bukan satu masalah. Bahkan, anda mungkin memakan lebih banyak bertih jagung kerana kurangnya perkara menarik yang berlaku di dalamnya. Filem ini adalah ‘bising’ dan kesunyian tidak lagi menjadi penarik utama untuknya dan ia satu lagi perkara yang mengecewakan di dalam filem ini. Jika anda mengharapkan sesuatu seperti filem sebelum ini, ia tidak memberikannya.

Filem ini cuba menyampaikan penceritaan kemanusiaan bagi francais A Quiet Place akan tetapi penyampaian-nya kurang berkesan dan menjadi banyak bahagian terasa meleret dan membosankan. Ia memberikan pengalaman tontonan yang tidak baik bukan sahaja untuk yang mengikuti siri filem ini, akan tetapi bagi penonton yang menonton siri filem ini buat pertama kali. Walaupun begitu, masih terdapat beberapa adegan yang menarik, agak jarang, tetapi mencukupi untuk membuatkan saya masih mengikuti apa yang sedang berlaku di dalamnya.

Akhir kata, A Quiet Place: Day One cuba membawa kelainan di dalam penceritaan yang disampaikan, akan tetapi penyampaian-nya kurang berkesan menjadikan ia bukan sahaja gagal memberikan apa yang dijangkakan daripada siri filem ini, akan tetapi juga gagal untuk membawa penceritaan yang menarik. Bahagian thriller masih ada, tetapi ia tidak sebaik sebelum ini dan konsep kesunyian yang menjadi kekuatan utama untuk filem ini tidak lagi diguna-pakai yang seperkara lagi mengecewakan mengenai filem ini.

A Quiet Place: Day One
A Quiet Place: Day One cuba membawa kelainan di dalam penceritaan yang disampaikan, akan tetapi penyampaian-nya kurang berkesan menjadikan ia bukan sahaja gagal memberikan apa yang dijangkakan daripada siri filem ini, akan tetapi juga gagal untuk membawa penceritaan yang menarik.
Positif
Adegan thriller masih berkesan
Penceritaan kemanusian yang menyentuh jiwa
Negatif
Penyampaian premis penceritaan yang kurang berkesan
Konsep kesunyian kurang digunakan
6

Sohor Kini