Skip to main content

The Boys dengan telah memasuki musim keempat telah mempunyai formula penceritaan dan juga formula penyampaian yang berkesan, namun bagi musim keempat ini, formula penceritaan yang digunakan sudah kurang berkesan. Perkara ini menjadikan setiap episod terasa sedikit meleret akan tetapi ia masih dibantu dengan formula penyampaian yang bukan sahaja masih berkesan tetapi menjadi lebih baik berbanding sebelum-sebelum ini.

Sejak daripada musim pertama lagi, premis penceritaan untuk The Boys memainkan perkara yang sama sahaja dengan The Boys mempunyai rancangan mereka dengan kebiasaannya akan gagal, manakala The Seven terutamanya Homelander juga mempunyai perancangan mereka tersendiri ada masa berjaya dan masa gagal. Premis ini telah menjadi ulangan setiap musim, dan musim ini ia makin terasa yang penceritaan tidak pergi ke mana-mana.

Masalah utama bagi saya mengenai penceritaan adalah walaupun pelbagai perancangan sudah gagal, ataupun apa sahaja perancangan baharu oleh Homelander, saya tidak merasakan yang the stake menjadi lebih tinggi berbanding sebelum-sebelum ini. Siri ini cuba mengatakan yang jika perancangan The Boys gagal, ataupun jika Homelander berjaya mendapat apa yang dia kehendaki, sesuatu yang teruk akan berlaku, namum kesannya agak kurang berkesan.

Selepas menonton 7 episod daripada 8 episod, saya masih terasa yang siri ini berada di dalam satu loop yang sama dengan apa sahaja yang terjadi tidak membawa sebarang kejutan, saya boleh katakan mungkin episod 7 mempunyai sedikit perkara yang membuatkan saya ternanti-nanti episod seterusnya, namun ia lebih kepada sesuatu yang baharu dan bukannya kerana terasa ia sudah mencapai klimaks penceritaan.

Pengenalan dua watak baharu di dalam The Seven (yang masih lagi tidak mencukupi tujuh) iaitu Sister Sage dan Firecracker adalah baik, kedua-dua watak ini disertakan dengan berkesan kerana mereka berdua memainkan peranan penting untuk membentuk Homelander di dalam musim ini yang selepas kejadian di dalam musim lepas, dia masih mencari kedudukannya di dalam dunia ini. Manakala, watak-watak lain seperti The Deep tidak membawa kesan yang besar, manakala A-Train memainkan peranan yang penting di dalam penceritaan tetapi masih terasa sama dengan musim-musim sebelum ini.

Bagi watak dalam The Boys pula, tidak banyak perubahan yang berlaku. Setiap daripada mereka mempunyai permasalahan tersendiri yang menjadi perkara lebih penting di dalam penceritaan berbanding usaha mereka untuk melawan dengan Supe. Ini baik kerana memberikan penceritaan tambahan tetapi kurang baik untuk keseluruhan penceritaan, terutama saya yang ingin melihat sesuatu dilakukan untuk mencapai objektif mereka.

Walaupun menyertakan penceritaan yang berulang dan sedikit mengecewakan, The Boys musim ini masih satu tontonan yang baik kerana ia mempunyai banyak adegan yang tidak dijangkakan. Adegan-adegan ini lah yang menjadikan setiap episod, seronok untuk ditonton walaupun saya sudah kurang berminat dengan apa yang terjadi di dalam penceritaan. Ini tidak kiralah adegan-adegan ganas, ataupun adegan menggelikan, setiap episod ada sahaja sesuatu yang tidak dijangkakan berlaku.

Adegan-adegan ini sudah semestinya menjadi tarikan utama bagi siri ini, dan merupakan perkara yang dipercakapkan daripada musim ke musim, oleh itu ia adalah perkara yang baik kerana walaupun memasuki musim keempat, mereka masih boleh melakukan aksi yang memberikan kejutan kepada saya, ia bukan sekadar ganas ataupun gory semata-mata tetapi adegan-adegan ini juga dilakukan dengan bijak.

Akhir kata, The Boys musim keempat ini cukup baik untuk meneruskan sesi tontonan yang menarik bagi siri ini, akan tetapi penceritaan yang mengulangi perkara yang sama untuk beberapa musim telah terasa penat dan menjadikannya kurang menarik. Siri ini masih menyampaikan adegan-adegan yang mengejutkan membuatkan kekurangan pada penceritaan tidak sangat terasa, namun, perkara ini juga boleh menjadi kurang berkesan jika masih diteruskan lagi untuk musim depan. Oleh itu, ia adalah perkara yang baik, musim kelima menjadi musim terakhir untuk siri ini.

The Boys sudah mula disiarkan di Prime Video dengan tiga episod pertama sudah boleh ditonton, episod seterusnya akan tiba secara mingguan.

The Boys (Musim 4)
Musim keempat ini cukup baik untuk meneruskan sesi tontonan yang menarik bagi siri ini, akan tetapi penceritaan yang mengulangi perkara yang sama untuk beberapa musim telah terasa penat dan menjadikannya kurang menarik akan tetapi dibantu dengan adegan-adegan yang ganas dan mengejutkan.
Positif
Kemasukan watak-watak baharu yang berkesan
Masih banyak adegan yang mengejutkan
Negatif
Penceritaan sama dengan musim-musim lepas
Lebih memfokuskan kepada perihal peribadi watak
8

Leave a Reply

Final Score